Ahad, 14 April 2013

Di sebelah bangunan Umno, pemimpin muda Pakatan gesa rakyat pertahankan Selangor


Oleh Md Izwan

SHAH ALAM— Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berhimpun di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, bersebelahan dengan bangunan Umno Selangor malam tadi menggesa anak muda untuk mempertahankan negeri terkaya tersebut daripada tumbang kepada Barisan Nasional (BN).

Bertemakan “Malam Anak Muda Bangkit”, kira-kira lebih 2,000 penyokong PR yang majoritinya anak muda menyambut cabaran tersebut dengan sorakan semangat untuk mempertahankan Selangor daripada ditawan BN.

“Malam ini bersebelahan bangunan Umno negeri Selangor, kita gegarkan bangunan tersebut,” kata Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Ridzwan yang disambut laungan ‘boleh’ oleh hadirin.

“Anak-anak muda malam ini, berjanji dengan saya untuk pertahankan Selangor,” tambah beliau lagi.

Wakil Solidariti Mahasiwa Malaysia (SMM) Safwan Anang menambah semangat hadirin yang hadir apabila berkata Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri paling penakut dalam sejarah Malaysia tetapi mempunyai cita-cita besar untuk menawan Selangor.

“Sudahlah nak bubar Parlimen pun lambat, bila diajak berdebat pun takut. Macam inikah nak menang di Selangor,” soal beliau.

“Sebab takut berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami mahasiswa sendiri yang mencabar Najib untuk berdebat. Itu sahaja ‘level’ perdana menteri kita,” kata beliau yang disambut dengan tepukan orang ramai.

Sesi ceramah malam ini juga membariskan pemimpin muda PR lain seperti Pembantu Setiausaha Pemuda PAS Pusat Khairul Fahmi Mat Som, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat Aiman Athirah dan beberapa penceramah lain.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengambil mikrofon di penghujung program  dan membuka ucapannya menggesa anak muda untuk melakukan perubahan dan tidak terlepas daripada mencipta sejarah menumbangkan Umno dan BN pada Pilihan Raya 2013.

“Anak-anak muda ketika ini mempunyai masa tiga minggu untuk memilih dan membuat perubahan.
“Sekarang, tanggungjawab dan amanat digalas oleh anda semua anak-anak muda untuk menentukan masa depan negara dan berada sebaris dalam sejarah negara,” kata Rafizi yang disambut laungan “boleh” oleh hadirin.

Rafizi kemudiaan meneruskan sesi ceramah dengan pembentangan tawaran manifesto daripada PR seperti memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penurunan harga kereta dan juga meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia.

Pengacara majlis juga mengumumkan seramai 80 ribu orang telah melayari ceramah yang disiarkan secara langsung oleh laman sesawang Selangorku.

Pada Pilihan Raya 2008, BN tumbang di negeri Selangor buat pertama kali dan tiga negeri lain seperti Perak, Kedah dan Pulau Pinang yang menyaksikan pembangkang menang 82 kerusi parlimen bagi menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN di Parlimen.

Sebelum pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN), PR mempunyai penguasaan yang ketara ke atas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi DUN serta 17 daripada 22 kerusi Parlimen.

PIlihan Raya 2013 akan diadakan pada 5 Mei dengan hari penamaan calon pada 20 April. Masa berkempen rasmi adalah sepanjang 15 hari, tempoh berkempen terpanjang yang pernah diadakan dalam pilihan raya umum di Malaysia selepas Pilihan Raya 1982.

Tiada ulasan: