Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Semua calon Pakatan Rakyat Selangor yang
bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 akan diperkenal pada pelancaran
Manifesto Pakatan Selangor Khamis ini.
Setiausaha KEADILAN Negeri, Amirudin Shari berkata, pelancaran
berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula jam 9 malam hingga
12 malam.
“Kita juga akan kenalkan semua calon Pakatan di Selangor. Setakat ini
kita masih dalam proses memuktamadkan senarai calon dari DAP dan PAS,”
jelas Amirudin kepada Keadilan Daily.
Selain calon dan pimpinan Pakatan Selangor, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir ke majlis tersebut.
“Menerusi pelancaran ini, rakyat akan nampak usaha kita yang
bersungguh-sungguh untuk terus berkhidmat sekaligus menonjolkan
keyakinan Pakatan untuk meneruskan perkhidmatan cemerlang selama lima
tahun sebelum ini,” katanya.
“Kita alu-alukan semua rakyat agar hadir beramai-ramai untuk melihat
sendiri calon yang akan mewakili anda ke Parlimen mahupun Dewan Undangan
Negeri (DUN),” kata Amirudin yang turut dicalon untuk mempertahan
kemenangan di DUN Batu Caves.
KEADILAN pada malam tadi selesai menamakan sebahagian besar calon yang akan bertanding di Selangor.
Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen manakala DUN 56. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan