Oleh Aisha Geoffrey
PETALING JAYA : Barisan calon KEADILAN bagi mempertahan kemenangan Selangor pada pilihan raya kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, gabungan itu merangkumi calon muka lama dan baru serta dari pelbagai latar belakang kerjaya, usia dan kaum.
“Ia satu gabungan yang kuat, dan saya yakin PAS serta DAP juga akan menampilkan calon yang tidak kurang hebatnya.
“KEADILAN bersedia dan berbangga untuk berkempen bersama (PAS dan DAP),” kata Nik Nazmi pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Beliau yang turut sama dicalonkan untuk mempertahan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia juga mengalu-alukan calon baru.
Mereka termasuk dari wanita, Tengku Maraziah Tengku Sulaiman (Kuang) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa). Selain itu, Datuk Ramachandran Kandasamy (Batang Kali) dan G Manivanan (Kapar).
“Kita juga ada tokoh parti, antaranya Dr Abdul Aziz Bari (Sabak Bernam), Khalid Jaafar (Hulu Selangor), Wong Chen (Kelana Jaya), dan sahabat saya, Rafizi Ramli (Pandan),” katanya.
“Persaingan di Selangor pasti sengit, apatah lagi melihat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak terpaksa mengetuai kempen BN di negeri ini,” kata Nik Nazmi lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau mengulas isu kerusi DUN Kota Damansara yang sedang dibincangkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“Kita sentiasa menghargai sokongan PSM dan bekerjasama baik dengan mereka. Kita yakin status mengenai Kota Damansara akan diselesaikan secepat mungkin,” jelasnya.
Untuk mengetahui senarai penuh calon KEADILAN di Selangor KLIK SINI. -NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan