Isnin, 15 April 2013

BN sah akan letak Ghani untuk pertahan Gelang Patah dari Kit Siang

Oleh Jahabar Sadiq
Pengarang


 
KUALA LUMPUR — Datuk Abdul Ghani Othman akan mempertahankan Gelang Patah melawan Lim Kit Siang dari DAP manakala pemerintah Barisan Nasional (BN) mencari kerusi selamat untuk pengganti berpotensi sebagai Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Pilihan Raya 2013, kata sumber dalaman.

Walaupun BN berjanji untuk meletakkan muka baru, The Malaysian Insider difahamkan lelaki berusia 66 tahun itu adalah yang terbaik untuk melawan Lim yang berusia 72 tahun dengan gabungan pemerintah itu bergantung kepada undi Melayu untuk membantu mereka dalam pilihan raya umum 5 Mei.

“Telah ditetapkan Ghani (gambar) akan mempertahankan Gelang Patah oleh kerana BN tidak mahu risiko kehilangan deposit tetap mereka di Johor,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengatakan MCA telah bersetuju untuk memberikan kerusi itu kepada Umno, di bawah strategi di mana bilik perang BN percaya calon Umno boleh mematahkan serangan DAP di Johor dan di kerusi majoriti Melayu lain berbanding MCA.

“Terdapat beberapa veteran yang disuruh untuk terus kekal dan pertahankan kerusi mereka oleh kerana DAP dan PAS bersama-sama boleh menyebabkan masalah,” tambah sumber BN itu merujuk kepada parti Pakatan Rakyat (PR) yang termasuk PKR.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak akan memberikan senarai calon muktamad kepada pengerusi gabungan tersebut di peringkat negeri hari ini dengan senarai penuh akan diumumkan esok. Langkah tidak dijangka itu adalah untuk memberi peluang kepada gabungan itu untuk memperkenalkan muka baru sebelum penamaan calon pada 20 April.

Difahamkan Umno telah bersedia untuk menggugurkan Ghani yang telah memimpin negeri tersebut selama empat penggal semenjak 1995, akan tetapi pencalonan Lim telah menyebabkan mereka memikirkan semula.

“Sepatutnya terdapat banyak perubahan akan tetapi rancangan diubah untuk memastikan PR tidak berjaya di Johor.

“Kami percaya Ghani boleh menang melawan Kit Siang sekurang-kurangnya dengan beberapa ribu undi,” katanya dengan menambah gabungan pemerintah itu sudah berputus asa untuk mendapatkan undi yang banyak daripada komuniti Cina.

PKR bertanding di Gelang Patah dalam dua pilihan raya umum lepas, tetapi kalah dua kali kepada Ketua Wanita MCA Johor Tan Ah Eng. Tan mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya 2008 dengan majoriti 8,851 undi, lebih kecil daripada majoriti 31,666 undi pada 2004.

Pengundi Cina membentuk 54 peratus di kawasan tersebut manakala Melayu dan India masing-masing adalah 34 peratus dan 12 peratus.

Satu lagi sumber lain mengatakan BN sedang mencari kerusi selamat untuk Khaled oleh kerana beliau kemungkinan besar akan menjadi menteri besar jika gabungan tersebut mempertahankan Johor.

Ahli parlimen Pasir Gudang selama dua penggal itu mungkin tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Johor Jaya oleh kerana terdapat jumlah pengundi Cina yang besar.
“Pengundi Cina adalah bermasalah dan kami tidak boleh bergantung kepada MCA untuk mendapatkan sokongan,” kata sumber tersebut.

Khaled kelihatan tidak gelisah dengan spekulasi mengenai perubahan dalam karier politiknya, 23 tahun selepas beliau buat pertama kalinya menang sebagai ahli parlimen di Johor pada 1990.

“Saya sendiri tidak tahu di mana saya akan bertanding dan hanya akan menunggu kata-kata akhir daripada Perdana Menteri,” katanya dipetik dari laman sesawang The Star pada Sabtu.

Sejumlah 13.3 juta pengundi, termasuk 5,200 dari luar negera dijangka akan mengundi untuk 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN pada pilihan raya umum 5 Mei. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Tiada ulasan: