Jumaat, 26 April 2013

Bekas MB Kedah mohon maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir

SINAR HARIAN

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
 
KUALA NERANG - Ketua Umno Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini memohon maaf secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung krisis antara mereka pada 2006.
  
Permohonan maaf itu dibuat pada Majlis Negarawan Ulung Bersama Dr Mahathir di Dataran Umno Padang Terap di depan lebih 5,000 anggota dan penyokong parti berkenaan.
  
"Saya nak mohon maaf kepada Dr Mahathir. Orang muda kadang-kadang ada panas baran sikit dan agak keterlaluan," kata Mahdzir ketika berucap pada majlis itu.
  
Ketika pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu pada September 2006, Mahdzir, yang ketika itu Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, meminta Dr Mahathir menarik diri daripada bertanding jawatan perwakilan bahagian untuk ke persidangan agung Umno.
  
Ini kerana beliau bimbang tindakan bekas perdana menteri itu akan menyebabkan perpecahan pada sturuktur parti di pelbagai peringkat.

Sementara itu, Dr Mahathir pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan berkata beliau menghargai tindakan Mahdzir yang meminta maaf daripadanya dan menganggap krisis yang berlaku adalah perkara biasa.
  
Beliau berkata dalam politik, kelantangan menyuarakan pandangan serta lantang bersuara adalah perkara biasa, malah ada antara pemimpin parti pembangkang melabelkannya sebagai 'Firaun'.
  
"Saya tak heran... Orang maki dan tentang saya macam-macam. Ada yang panggil saya Firaun, dan apa yang saya tau, saya bukan Firaun," katanya.
 
Dr Mahathir berkata walaupun orang yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) adalah musuhnya, beliau akan tetap memberi sokongan kepada calon yang mewakili parti itu pada pilihan raya umum ke-13.  - Bernama

Tiada ulasan: