Oleh Aisha Geoffrey
PETALING JAYA : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali
mengesahkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak bertanding dalam
pilihan raya kali ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan yang sangat jelas
bahawa Wan Azizah tidak akan bertanding kali ini,” kata Azmin menjawab
berkenaan isu itu pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Menurutnya, Presiden KEADILAN berperanan besar pada waktu kempen
pilihan raya dan akan ke seluruh negara untuk menjelaskan tawaran
Manifesto Pakatan Rakyat.
“Wan Azizah mempunyai peranan yang lebih besar, tidak semestinya sebagai calon. Beliau punya pengaruh kuat di kalangan wanita.
“Dia perlu ke seluruh negara untuk menarik dan meyakinkan golongan wanita tentang pentingnya peranan mereka,” kata Azmin.
Menurut Azmin, perkara itu selari dengan dasar parti yang meletakkan sasaran 30 peratus wanita sebagai calon.
“Kita ada polisi yang jelas dalam memperjuangkan wanita, malah
menerusi pemilihan calon KEADILAN ada 30 peratus peluang untuk wanita
menjadi wakil, dan kita semakin hampir dengan peratusan itu,” jelas
Pengarah Pilihan Raya KEADILAN itu.
Keadilan Daily semalam melaporkan, Ketua Umum dalam temubual bersama Al-Jazeera pada Rabu lalu memaklumkan Wan Azizah tidak bertanding.
“Azizah mampu untuk memimpin parti semasa saya berada dalam penjara.
Beliau mengetuai parti tetapi memutuskan untuk tidak bertanding pilihan
raya,” kata Anwar. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan