Selasa, 16 April 2013

Abim gesa rakyat tolak pengamal politik lucah

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekali lagi dengan tegas mengutuk perbuatan mengedarkan video lucah untuk kempen pilihan raya ini.

Presidennya, Amidi Abdul Rahman (gambar) berkata, ia melambangkan satu tahap pemikiran yang tidak bertamadun serta menjurus ke arah fenomena politik longkang yang kotor dan menjijikkan.

"Kita menuntut agar perkara ini diberikan perhatian serius oleh semua pihak dalam menghadapi PRU 13 bakal menjelang," kata Amidi dalam kenyataannya.

Baru-baru masyarakat dikejutkan lagi oleh satu video kononnya  merupakan perlakuan lucah pemimpin sebuah parti.

Secara kebetulan ia pemimpin sebuah parti yang sama membentuk satu pakatan dengan pemimpin sebuah parti lain, yang didakwa mengedar video lucahnya diedarkan tidak lama dahulu.

Sehubungan dengan itu, Abim mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini.

Abim, katanya, tidak menolak kemungkinan tindakan ini dipengaruhi oleh pandangan yang mengharuskan pendedahan aib seorang pemimpin seperti yang diqiaskan oleh pihak tertentu seumpama memilih "pasangan hidup!"

Mungkin inilah situasi yang dimahukan oleh pihak berkenaan, yang berpendirian, ia adalah untuk ketelusan dalam memilih pihak yang wajar menjadi pemimpin negara.

Namun, katanya, pandangan yang kurang cermat ini boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam situasi yang tidak sihat.

"Persoalan Adakah benar perkara ini aib? Atau ia adalah fitnah semata-mata? akan terus berlegar-legar serta mencetuskan polemik berpanjangan," tambahnya.

Justeru, Abim menggesa penyebaran perkara ini perlu dihentikan serta merta demi menjaga integriti semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya ini.

Abim tidak mahu pilihanraya menjadi medan lambakkan video-video lucah sebegini yang tidak memberi sebarang terhadap perkembangan demokrasi yang positif, tegas beliau.

Akibatnya, PRU 13 kelak akan  menyaksikan persaingan tidak lagi berasaskan tekad untuk memperjuangkan kebajikan rakyat, tetapi sebaliknya diwarnainya dengan aksi video yang memualkan.

Abim menyeru agar semua pihak tanpa mengira parti untuk menolak budaya politik lucah ini.

"Kita khuatir ia akan menjemput kemurkaan ALlah yang hadir bersama bala dan kutukan. Semoga kita semua terlindung dari sebarang keburukan atas tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.

Tiada ulasan: