Jumaat, 12 April 2013

80 hari di bilik mayat, keluarga Sugumar tuntut bedah siasat kedua

Oleh: Aliff Fikri

PETALING JAYA: Keluarga S.Sugumar mendesak Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan segera kes pembunuhan mendiang sebelum Pilihanraya Umum (PRU) 13.

Bapa saudaranya, A Kuppusamy berkata, hari ini genap 80 hari mayat Sugumar ditempatkan di bilik mayat Hospital Serdang, menyebabkan keluarganya tidak dapat menguruskan upacara pengebumian.

Sugumar

Kuppusamy berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi membolehkan pakar bedah Thailand, Dr Pornhtip Rojanasunand menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Sugumar, namun dihalang pentadbiran Perdana Menteri.

Malah katanya, keluarganya juga tidak menerima laporan bedah siasat pertama dari Hospital Serdang yang mendakwa Sugumar mati akibat sakit jantung.

“Saya sangat kesal dengan apa yang dilakukan beliau (Najib).

“Bagaimana seorang Perdana Menteri melakukan sedemikian rupa terhadap rakyatnya? Boleh ke orang seperti ini yang tidak bertanggungjawab dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri? Perkara ini harus segera diselesaikan sebelum PRU,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, tengah hari tadi.

Turut hadir ibu Sugumar, K Manimagalay dan sepupu mangsa, Ananthakannan.

Sementara itu, peguam mangsa, N Surendran berkata, pihaknya akan meneruskan petisyen agar Dr Pornthip dibenarkan masuk dan melakukan segera bedah siasat terhadap mangsa keganasan polis itu.

“Kita mahu bedah siasat yang bebas dan kita juga tahu reputasi Dr Pornthip. Tapi persoalannya sekarang mengapa Dr Pornthip tidak dibenarkan masuk?

“Apakah Umno BN takut kepada kebenaran dan mahu menghadapi PRU dengan keadaan mayat mangsa pembunuhan dibiarkan begitu sahaja di Hospital Serdang?,” tegas Naib Presiden KEADILAN itu.

Seorang lagi peguam mangsa, Latheefa Koya pula berkata, halangan terhadap Pornthip menyerupai tindakan sama terhadap peguam Perancis, Wiliam Bourdon dan Senator Australia, Nick Xenophon yang dilarang masuk ke negara ini.

“Dalam isu Dr Pornthip pula, Kementerian Kesihatan sendiri memberi ‘lampu hijau’ agar beliau datang dan melakukan bedah siasat tapi tiba-tiba disekat juga. Ini merupakan tindakan yang tidak boleh diterima,” ujarnya.

Dalam kejadian di Hulu Langat Januari lalu, Sugumar yang juga pengawal keselamatan mati selepas dipukul sekumpulan individu dalam keadaan bergari, selepas dikejar beberapa anggota polis.

Saksi mendakwa polis turut memijak tengkuk mangsa dan melumurkan mukanya dengan kunyit.

Pada 15 Februari lalu, Kementerian Keadilan Thailand dilaporkan bimbang dengan rasa kurang senang kerajaan Malaysia berikutan penglibatan Dr Pornthip dalam bedah siasat berkenaan.

Laporan dari dokumen rasmi itu dipetik, dalam kes kematian Sugumar, kerajaan Malaysia risau wawancara Dr Pornthip akan memberi impak negatif terhadap kerajaan ketika pilihan raya umum makin hampir.

Tiada ulasan: