Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR : Sebuah jawatankuasa khas mengenai aliran wang
haram yang keluar dari negara ini akan ditubuhkan sebaik sahaja Pakatan
Rakyat mentadbir Putrajaya, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Beliau menyatakan komitmen demikian pada ‘Forum Memanifestasikan
Harapan Rakyat: Satu Perbualan Bersama’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala
Lumpur-Selangor malam tadi.
“Sebaik Pakatan Rakyat menang pada 6 Mei 2013, kita akan menubuhkan
jawatankuasa khas untuk menyiasat aliran wang haram yang keluar dari
negara ini,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Tegas Anwar, laporan badan kewangan Global Financial Integrity (GFI)
mengenai aliran wang haram yang keluar dari negara ini berjumlah
sehingga USD 40 bilion gagal dikesan ‘radar’ pemerhati kewangan.
“Ini tuduhan serius terhadap negara. Saya telah meminta Menteri
Kewangan di Parlimen dan Bank Negara Malaysia melakukan siasatan rapi.
“Apa jawapannya? Jawabnya – jumlah (aliran wang haram keluar) tidak
sebanyak itu,” kata Anwar memaklumkan jawapan Menteri Kewangan kepada
soalannya di Parlimen.
“Ini kenyataan tak bertanggungjawab. Mereka tutup kedua belah mata
dan tidak memberikan sebarang reaksi,” katanya menjawab soalan
moderator, Dr Ahmad Farouk Musa.
“Lupakan dahulu tentang Manifesto BN. Jawab dan pertahankan apa yang
terjadi tentang aliran wang haram seperti yang dilapor GFI ini,” tegas
Anwar.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan, fenomena ‘Arab Spring’ dan
‘Occupy Wall Street’ perlu diambil pengajaran kerana ia berhubung
langsung dengan penyalahgunaan dana negara, dasar kronisme dan
pengagihan sumber negara di kalangan elit politik.
“Ia bercanggah dengan kepentingan rakyat terbanyak di negara
tersebut. Ia anti-rakyat dan kita mesti belajar dari kemarahan dan
kesalahan. Ia (dasar tersebut) tidak boleh dipertahankan,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan