UTUSAN ONLINE
SHAZIMAN Abu Mansor (kanan) melihat keadaan struktur bahagian dalam bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh di Kuala Terengganu, semalam. Turut sama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said.
KUALA TERENGGANU 2 Jun - Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini hari ini sebagai kejadian yang memalukan negara.
Menurutnya, kejadian itu boleh menimbulkan imej negatif bahawa kontraktor Malaysia tidak berwibawa walaupun pembinaannya melibatkan kontraktor asing.
''Stadium ini baru dibina setahun yang lalu. Kejadian runtuhan ini memalukan imej negara.
''Nanti orang kata di Malaysia, bangunan yang sedang dibina pun ada benda jatuh, bangunan sudah siap pun boleh jatuh bumbungnya, bangunan yang nak diruntuhkan pun runtuh juga. Nanti ia jadi satu imej," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang separuh daripada bumbungnya runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
Berikutan kejadian itu katanya, selepas ini kerajaan akan memberi penekanan terhadap piawaian amalan kerja dalam memilih kontraktor serta perunding untuk projek-projek besar.
Shaziman berkata, pihaknya akan meminta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memastikan amalan itu dipatuhi.
''Dari segi pemilihan jururunding dan kontraktor, kita mesti pilih berdasarkan kemampuan. Katakan projek yang besar, kena pastikan jururunding itu ada kapasiti manakala kontraktor pula mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi," ujarnya.
Beliau turut mengarahkan CIDB dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian mengapa bumbung stadium berkenaan runtuh.
''Saya tidak mahu menunding jari dan menyalahkan mana-mana pihak. Kejadian ini baru berlaku. Saya mahu mendapat laporan yang terperinci," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan