Isnin, 1 Jun 2009

PKR kekal DUN Penanti

BERITA HARIAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti semalam, tetapi jumlah undi yang diperoleh calonnya, Mansor Othman merosot berbanding pilihan raya umum lalu.

Mansor yang menewaskan tiga calon Bebas hanya mendapat 6,052 undi, berbanding 7,346 undi yang diperoleh bekas Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin sebelum ini.

Tiga calon Bebas, Aminah Abdullah memperoleh 392 undi, Nai Khan Ari (484 undi) dan Kamarul Ramizu Idris (56 undi). Semua mereka hilang wang pertaruhan.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di sini, jam 8.25 malam tadi.

Seramai 7,100 pengundi atau 46.15 peratus daripada 15,384 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil yang diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus pada 16 April lalu. Sebanyak 107 undi rosak.

Berikutan kemenangan itu, Mansor yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri I.

Barisan Nasional (BN) tidak meletak calon kerana tidak mahu terperangkap dalam permainan politik pembangkang yang sengaja mengosongkan kerusi berkenaan.

Penanti, satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai 15,384 pemilih termasuk 24 pengundi pos adalah kawasan majoriti Melayu, iaitu 76.68 peratus, Cina (24.22 peratus), India (2.3 peratus) dan lain-lain (0.71 peratus).

Pada pilihan raya umum lalu, Mohammad Fairus mengalahkan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, dengan majoriti 2,219 undi.

Tiada ulasan: