Mat Zain Mat Isa
PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Pulau Pinang telah berakhir. Bagai dijangka pelbagai pihak sedari awal, keputusan pengundian pada Ahad (31 Mei) lalu memihak kepada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).
Calonnya, Dr Mansor Othman, menang besar ke atas tiga pencabarnya. Beliau memperolehi 6,052 undi sekaligus mengatasi pencabar terdekatnya, Nai Khan Ari Nan Keow dengan majoriti 5,558 undi.
Ahli parti Gerakan itu mendahulu tiga calon Bebas dengan pungutan tertinggi 494 undi. Di belakangnya ialah Aminah Abdullah (392 undi) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Ketiga-tiga mereka hilang wang pertaruhan.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran perletakan jawatan penyandang kerusi berkenaan dari KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin, 16 April. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Fairus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi. Calon KeADILan itu memperolehi 7,346 undi berbanding Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh itu yang mendapat 5,127 undi.
Meskipun berjaya meningkatkan majoriti kemenangan lebih dua kali ganda, undi diraih Mansor menampakkan kemerosotan sebanyak 1,294 berbanding pilihan raya lalu. Ia dikaitkan dengan berbagai kemungkinan. Faktor paling menyerlah ialah kemerosotan jumlah pemilih yang keluar mengundi.
Hanya 7,100 daripada 15,384 pemilih berdaftar keluar melaksanakan tanggungjawab mereka, Ahad lalu. Jumlah itu membentuk hanya 46.15 peratus dan merekodkan peratusan mengundi terendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Semua pihak boleh bersetuju bahawa faktor utama kemerosotan sebegitu ketara adalah kesan langsung ketiadaan BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mensasarkan tidak kurang 70 peratus pemilih akan keluar mengundi. Pihaknya juga telah membuat kempen menggalakkan orang ramai keluar mengundi.
"Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian awal, ia (peratus keluar mengundi rendah) berpunca daripada keputusan Barisan Nasional tidak bertanding," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Pendirian BN tak tetap
BN mengambil pendirian memboikot pilihan raya kecil tersebut. Alasan diberikan adalah pelbagai, dari dalih ekonomi, kemasyarakatan hinggalah kepada hujah politik. Sementara pelbagai pihak mempertikaikan segala hujah dan dalih BN itu, pendiriannya untuk tidak bertanding tetap dihormati.
Masalah timbul apabila BN bukan sekadar tidak ikut bertanding. Ia menggunakan segala ruang dan peluang dimilikinya untuk memberikan gambaran sangat negatif terhadap pilihan raya kecil di Penanti. Seluruh saluran media dan alat propaganda BN dimanipulasi secukupnya bagi mewajarkan tindakan BN memulaukan pilihan raya berkenaan.
Persepsi umum cuba dibentuk bahawa ia suatu pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat. Malah ia turut digambarkan sebagai suatu mainan politik pembangkang yang memuakkan rakyat.
Sebab itu sejak awal pilihan raya tersebut bermula sudah ada pemerhati dan penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi yang rendah. Kebanyakan mereka mengaitkannya dengan sentimen kepartian yang dimiliki para pengundi BN.
Apa pun sikap dan pendirian diambil para pengundi terbabit, ia adalah hak peribadi mereka yang perlu dihormati. Bagaimana pun, apabila ia dikaitkan dengan gesaan dan nasihat berterusan para pemimpin BN agar pemulauan parti itu membuahkan kejayaan, maka tidak dapat tidak perlu diakui bahawa parti itu turut ada saham di atas kemerosotan peratusan keluar mengundi di Penanti.
Hasut pengundi
Apatah lagi media turut menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang secara terbuka menasihatkan pengundi di Penanti agar tidak keluar mengundi.
Akhbar harian pada Khamis (28 Mei) memetik Khairy yang menganggap pilihan raya itu sebagai memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sepertimana para pemimpin BN lain, beliau turut menyandarkan hujahnya atas wewenangan Mohamad Fairus mengosongkan kerusi Penanti.
Saranan itu mendapat reaksi hangat pelbagai pihak. PAS menyifatkan kenyataan itu satu cubaan menghasut pengundi dan meminta SPR mengambil tindakan terhadap Khairy.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menganggap kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan berniat menghalang proses pilihan raya. Beberapa ahli akademik turut mempertikaikan kewajaran kenyataan itu.
Halang bersuara
Dalam reaksinya, Khairy tidak menafikan kenyataannya itu. Sebaliknya beliau menganggap usaha membantah saranannya itu sebagai menghalang hak beliau bersuara. Apatah lagi seruan beliau itu memang bertepatan dengan pendirian BN dan sikap ditunjukkan segenap media kroninya.
Justeru, apabila peratusan keluar mengundi di Penanti benar-benar menjunam ke bawah 50 peratus, semua pihak menuding jari ke arah BN sebagai faktor utamanya.
Amat melucukan, hakikat itu cuba dinafikan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sebaliknya menegaskan sebarang cubaan mengaitkan peratusan keluar mengundi yang rendah itu dengan BN hanyalah 'gimik' kempen pembangkang.
Apa pun, penafian Muhyiddin itu memberikan dua pengertian. Sama ada beliau memang tidak ambil tahu perbahasan hangat di media berhubung kenyataan Khairy yang menghasut pengundi itu, atau beliau tidak mengiktiraf Khairy sebagai salah seorang pemimpin utama dalam BN._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan