Sabtu, 20 Jun 2009

Konstabel samun menyamar inspektor

BERNAMA


KLANG: Seorang konstabel polis yang pada Februari lalu didakwa atas pertuduhan menyamar dan merompak, ternyata tidak serik apabila hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan menyamar, menceroboh dan memeras ugut seorang lelaki, minggu lepas.

Wan Nazaruddin Wan Mohamad, 25, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa menyamar sebagai pegawai kanan polis untuk melakukan pemeriksaan di sebuah rumah No: 52, Jalan Dato'' Dagang 2, Taman Sentosa di sini, kira-kira 11.30 malam, 11 Jun lalu.

Wan Nazaruddin juga didakwa menceroboh masuk ke dalam rumah yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya manakala bagi pertuduhan menceroboh mengikut Seksyen 170 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa memeras ugut pemilik rumah itu, Wang Hung Feng, 29, sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM500 kepadanya di Stesen Minyak Shell Shiham Enterprise Jalan Sungai Jati di sini, kira-kira 12.40 tengah hari, 13 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana satu daripadanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Gan Chee Keong membenarkan Wan Nazaruddin diikat jamin RM8,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Februari lalu, Wan Nazaruddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyamar sebagai ‘Inspektor Nik’ dan merompak Mohd Amin Mamat, 34, seorang ahli perniagaan di tepi jalan berhampiran Sentosa Medical Centre, Taman Sentosa di sini, kira-kira jam 8 malam, 26 Januari lalu.

Tiada ulasan: