Sabtu, 20 Jun 2009

Jambatan ketiga ganggu operasi pelabuhan - Mahathir

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan Changi, Singapura dan bahagian timur Johor, Malaysia tidak sesuai kerana ia akan mengganggu perjalanan kapal ke Pelabuhan Pasir Gudang.

Bekas Perdana Menteri menegaskan, beliau sejak awal lagi tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga itu sebaliknya memberitahu pembinaan jambatan bengkok atau lebih dikenali sebagai Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor adalah lebih sesuai.

''Pembinaan jambatan ketiga bukan satu yang harus dilaksanakan kerana dari segi lokasi ia akan mengganggu perjalanan kapal ke Pelabuhan Pasir Gudang dan juga akan mengganggu penghantaran barang dari kawasan perindustrian Pasir Gudang.

''Saya masih lagi percaya bahawa pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor adalah paling terbaik kerana negara akan dapat menyelesaikan masalah trafik yang semakin teruk di kawasan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan ketiga di antara Malaysia dengan Singapura.

Dr. Mahathir ditemui selepas melancarkan buku Things In Common tulisan Syed Akbar Ali yang diedarkan oleh MPH Distributors Sdn. Bhd. di Restoran Kelantan Delights di Sooka Sentral, KL Sentral di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa Singapura berminat untuk membina jambatan ketiga menghubungkan Changi di negara berkenaan dan bahagian timur Johor iaitu di Pengerang.

Cadangan pembinaan jambatan ketiga itu diutarakan dalam pertemuan Najib dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong di Singapura pada 22 Mei lepas.

Pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura itu merupakan cetusan idea Dr. Mahathir bernilai RM600 juta bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924 dan pembinaannya dibatalkan oleh kerajaan pada tahun 2006.

Dr. Mahathir memberitahu, pembinaan jambatan bengkok juga akan membolehkan Tambak Johor di sebelah Malaysia dirobohkan sekali gus membuka pengangkutan air di antara timur-barat Selat Johor.

Tambah beliau, kualiti air di Selat Johor itu juga akan dapat dibaiki kerana ia membolehkan berlaku aliran air yang sekali gus dapat membersihkan kawasan selat yang kini terlalu kotor.

''Pembinaan jambatan bengkok juga akan membolehkan Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tanjung Puteri boleh digunakan dengan sepenuhnya.

''CIQ itu tidak dirancang untuk kenderaan melalui pada tingkat bawah, sebab itulah masalah kesesakan di Tambak Johor tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini,'' katanya.

Tiada ulasan: