Rabu, 24 Jun 2009

Kes pertama Influenza H1NI di Johor

BERNAMA


NUSAJAYA: Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun disahkan mangsa pertama penyakit Influenza A (H1N1) di Johor selepas pulang dari Melbourne, Australia, dua hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan Johor Dr Robia Kosai berkata pelajar itu yang menaiki penerbangan SQ0238 Singapore Airlines dan mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura, mengalami demam dan selesema apabila tiba di rumahnya di Johor Baharu.

"Pelajar itu yang telah berada di Melbourne sejak enam bulan lepas pulang ke rumahnya untuk bercuti. Dia kini berada di Hospital Sultanah Aminah untuk pengawasan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Robia berkata keluarga pelajar itu termasuk bapa, ibu, adik lelaki berusia 16 tahun dan adik perempuan berusia 17 tahun sedang dikuarantin selama seminggu di rumah mereka.

Turut dikenakan kuarantin di rumah adalah pemandu teksi, berusia 36 tahun, yang membawa pelajar itu pulang ke rumahnya.

Dr Robia berkata nenek pelajar perempuan itu meninggal dunia akibat sakit tua pagi ini dan keluarga itu dengan pengawasan kakitangan Jabatan Kesihatan akan dibantu bagi urusan melawat dan pengebumian supaya mereka tidak terdedah kepada orang awam lain.

Beliau berkata kakitangan Jabatan Kesihatan turut akan dihantar ke sekolah keduadua adik mangsa iaitu Sekolah Menengah Datuk Jaafar dan Sekolah Menengah Infant Jesus Convent kerana keduaduanya bersekolah semalam.

"Kita akan siasat keduadua sekolah tersebut untuk mengelak sebarang kemungkinan jangkitan virus tersebut," katanya.

Tiada ulasan: