Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mencetak wang palsu berikutan penahanan tiga anggotanya selain merampas wang palsu bernilai lebih RM10,000 dan mesin pencetak digital dalam serbuan di Kondominium Anthenaeum At The Peak, Bukit Antarabangsa dekat sini, Rabu lalu.
Sindiket itu dipercayai menjadikan peniaga pasar malam sebagai mangsa mereka untuk menukar wang palsu kepada wang tulen.
Ketika serbuan jam 1 pagi itu, tiga anggota sindiket berusia antara 33 dan 40 tahun sedang sibuk mencetak wang kertas palsu RM10 dan RM50 menggunakan mesin pencetak digital.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata kejayaan itu hanya secara kebetulan kerana asalnya serbuan dilakukan untuk mengesan suspek kes samun di Teluk Panglima Garang, Banting, awal bulan lalu.
Katanya, pemeriksaan di premis itu polis menemui sejumlah wang palsu RM10 dan RM50, semuanya bernilai RM10,010 serta pelbagai peralatan untuk memprosesnya, termasuk komputer, mesin pencetak, pengimbas dan kertas putih bersaiz A4.
“Wang kertas RM50 dicetak sebanyak empat keping bagi setiap helaian kertas A4, manakala wang kertas RM10 sebanyak enam keping. Mereka menggunakan mesin cetak berkualiti tinggi.
“Bagaimanapun, kualiti wang itu hanya 20 peratus menyerupai wang tulen serta pelekat kilat yang digunakan tidak berjaya menghasilkan ciri keselamatan.
“Sindiket ini dipercayai baru berjinak-jinak dengan kegiatan itu sejak lima bulan lalu dan dipercayai menjadikan peniaga pasar malam sebagai mangsa menukar wang itu bagi meng-elakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya di sini, semalam.
Abd Jalil berkata, semua wang ditemui mempunyai nombor siri yang sama iaitu PP4708105 dan polis meminta orang ramai yang memilikinya nombor siri itu supaya menghubungi pihaknya.
“Ketiga-tiga mereka ditahan reman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan kerana memiliki peralatan mencetak.
“Kita juga sedang menyiasat sama ada suspek ada kaitan dengan kes samun bersenjata,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan