Sabtu, 20 Jun 2009

Mana Janji MB Ahmad Said Untuk Buka Plaza Paya Bunga ?

Wan Kay & SM Noor


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Kerajaan UMNO/BN Terengganu Dato’ Ahmad Said telah berjanji akan menyelesaikan segala permasalahan dan membuka Plaza Paya Bunga, Jalan Tok Lam di sini, selewat-lewatnya bulan ini, Jun 2009 .

Ahmad berjanji demikian dalam ucapan penggulungannya pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu 15 April lalu, sebagai jawapan kepada persoalan yang dikemukakan oleh ADUN Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abd Wahid Endut.

Wahid dalam membahaskan titah ucapan Di raja, telah menyentuh secara panjang lebar masalah Plaza Paya Bunga yang telah dibina sejaka zaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Namun sehingga kini, sudah 20 hb Jun, belum ada lagi sebarang berita bahawa Ahmad akan mengotakan janjinya.

Oleh itu, salah seorang pemilik yang telah membeli premis perniagaan tersebut, Chang Pok Kiun, 55, menagih janji-janji yang diberikan kepada semua pemilik bangunan tersebut oleh kerajaan negeri.

”Bila lagi kami (pemilik) semua boleh masuk dan guna bangunan yang dibeli sejak lebih 12 tahun lalu. Apa masalah lagi pun kami tidak tahu tetapi janji boleh guna bulan ini (Jun),” ujarnya ketika ditemui semalam.

Beliau telah membeli bangunan tersebut dengan harga lebih RM300 ribu tetapi masih belum boleh digunakan hingga hari ini.

Menurutnya, kebimbangan yang dirasai jika bangunan yang telah lama siap itu tidak selamat digunakan serta tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

”Saya beli (bangunan) dengan harga RM330,000 melalui pinjaman bank. Kami (pemilik) juga bimbang ’takut-takut’ (risau) jika bangunan itu tidak selamat digunakan dan mengundang bahaya jika tidak ada CF,” jelasnya.

Encik Lim Eng Keong, 45, (gambar bawah kanan)turut mendesak pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri memberi jawapan segera kepada semua pemilik bangunan tersebut.

”Janji, janji, janji...janji apa macam ini. Kerajaan kata bulan Jun 2009 ini kita (pemilik) semua boleh ’duduk’ (guna) tapi sampai sekarang belum ada apa-apa,” ujarnya.

Katanya, pelbagai cara telah dilakukan dan yang terakhir melalui Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut untuk bawa ’ketengah’.

Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan masalah rakyat yang tertangguh sejak lebih 10 tahun berlalu.

Katanya, ketidakcekapan mengurus tadbir negeri dengan baik telah menyusahkan rakyat dan kerajaan perlu bertanggungjawab.

”Saya pun hairan kenapa terlalu lama hingga memakan masa 12 tahun pun belum selesai masalah rakyat. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak cekap dan menyusahkan rakyat,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

Menurutnya, janji-janji ’manis’ yang dibuat oleh pemimpin Umno-BN telah menjadi lumrah dan rakyat selalu ’digula-gulakan’.

Beliau berkata kerajaan negeri berjanji dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu yang mulia itu untuk selesai masalah rakyat.

Namun begitu, katanya janji-janji itu hanya dibuat bagi meredakan ketegangan apabila isu tersebut dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, rakyat akan hilang sabar jika pemimpin Umno dan kerajaan BN mempermainkan masalah yang ’membengkak’ sejak sekian lama.

Tiada ulasan: