Tindakan terhadap anggota polis lepas 58 das tembakan
UTUSAN ONLINE
KUANTAN – Anggota polis yang melepaskan 58 das tembakan ke udara dan kereta awam termasuk keretanya sendiri di Kuala Lipis pada 1 Oktober lalu akan dikenakan tindakan undang-undang atau tatatertib jika laporan perubatan mendapati dia melakukannya dalam keadaan sedar.
Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, tindakan tatatertib atau mengikut Akta Senjata Api 1960 wajar diambil jika laporan pakar psikiatri mendapati anggota polis berusia 22 tahun itu sedar dan normal ketika kejadian.
Jelasnya, pada masa ini, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan dan kes tersebut pula masih dalam siasatan polis.
‘‘Sebarang tindakan kita bergantung kepada laporan doktor,’’ katanya pada sidang akhbar sempena majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Pada 3 Oktober lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan memberitahu anggota polis berusia 22 tahun yang masih bujang itu dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Sehari sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan seorang anggota polis ditahan kerana melepaskan 58 das tembakan ke udara dan tiga das ke arah keretanya sendiri pada pukul 6.30 pagi di Kampung Selendang, Padang Tengku, Kuala Lipis pada 1 Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan