Ahad, 10 Januari 2021

Jangan teruskan projek empangan Mengkuang jika Guan Eng enggan mohon maaf, kata Najib

Najib dakwa Guan Eng menipu penduduk Pulau Pinang dengan cerita dongeng.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menuntut Lim Guan Eng memohon maaf kerana berbohong kepada rakyat Pulau Pinang berhubung penstrukturan semula aset air negeri itu.

Dalam catatan di Facebook, Najib mengulas hasrat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam agar Putrajaya meneruskan projek pembesaran empangan Mengkuang sebagaimana yang dipersetujui kerana sangat penting untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air mentah.

Najib berkata pembesaran empangan dibiayai oleh geran persekutuan bernilai RM1.2 bilion yang diberikan ketika pentadbirannya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula aset air Pulau Pinang pada 2011.

Penstrukturan itu turut melibatkan tukaran hutang kerajaan negeri RM655.2 juta kepada bayaran pajakan tahunan selama 45 tahun, katanya.

“Jika mahu kerajaan pusat teruskan projek empangan Mengkuang itu, saya rasa Guan Eng perlu minta maaf sebab dia menggunakan pengstrukturan air ini sebagai propaganda sekian lama untuk puji DAP kononnya pandai menjaga ekonomi Pulau Pinang kerana berjaya mengurangkan hutang negeri sebanyak 95%.

“Pengurangan hutang negeri itu langsung tiada kaitan dengan pengurusan kerajaan DAP sebaliknya setelah kerajaan BN bersetuju memberi geran percuma empangan Mengkuang sebanyak RM1.2 bilion dan menukarkan hutang negeri menjadi bayaran ansuran tahunan, supaya secara teknikal tidak lagi diklasifikasikan sebagai hutang,” katanya.

Najib berkata, jika beliau tidak bersetuju dengan penstrukturan berkenaan, hutang Pulau Pinang akan naik lebih 130% dan bukan menurun 95%.

“Sebab itu, jangan teruskan projek empangan Mengkuang selagi DAP atau Guan Eng tidak mengaku dan memohon maaf telah menipu seluruh warga Pulau Pinang selama bertahun-tahun dengan cerita dongeng pengurangan hutang negeri sebanyak 95% kononya DAP pandai jaga ekonomi negeri.

“Lagipun, cuma perlu dia jujur dan minta maaf sahaja. Susah sangat untuk dia mengaku dan keluarkan satu kenyataan sahaja ke?”

Tiada ulasan: