Isnin, 25 Januari 2021

Habitat 'sang bedal' tarikan baharu di Sungai Linggi

SUNGAI Linggi juga cukup sinonim dengan udang galah atau nama jolokan 'si sepit biru' dan pelbagai spesies ikan sungai termasuk senangin dan sembilang.

Terletak di sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka lokasi tidak asing lagi kerana, selain mempunyai nilai sejarah sejak era Kesultanan Melayu Melaka, ia juga menjadi buah mulut khususnya dalam kalangan kaki pancing.

Justeru, tidak hairan, sungai sepanjang 14 kilometer itu terus jadi tumpuan warga tempatan dan luar Negeri Sembilan untuk datang merasai sendiri pengalaman memancing.

Malah, kehadiran banyak buaya tembaga yang dikaitkan di sungai itu turut menjadi tarikan pelancong dan mereka yang ingin melihat dari dekat reptilia berkenaan.

akan tidak mengancam atau mengganggu manusia sebaliknya ia akan segera beredar sekiranya mengetahui pergerakannya diperhatikan.

Situasi itu membuatkan kaki pancing terutamanya penggemar udang galah tidak melepaskan peluang memancing di sungai itu.

Pusat Santuari Buaya

Dengan keunikan dan keistimewaan yang terdapat di Sungai Linggi itu mendorong kerajaan Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk mewujudkan Pusat Santuari Buaya bagi tujuan pembiakan dan pemeliharaan reptilia berkenaan.

Pelancong boleh menikmati keindahan flora dan fauna di sepanjang Sungai Linggi. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Pelancong boleh menikmati keindahan flora dan fauna di 
sepanjang Sungai Linggi. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Lokasi itu dipilih kerana kawasan terbabit adalah habitat 'sang bedal' selepas kelibatnya sering dilihat penduduk serta kaki pancing.

Pemilihan itu bertujuan bagi memberi impak positif kepada sektor pelancongan di negeri itu khususnya di daerah Port Dickson.

Optimis dengan dengan perancangan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan untuk mewujudkan Pusat Santuari Buaya sudah capai tahun lalu dan pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson sudah mengenal pasti lokasi sesuai bagi menjayakan rancangan itu.

Kawasan itu yang akan dikendalikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan.

"Kerajaan negeri melihat Sungai Linggi berpotensi dibangunkan sebagai Pusat Santuari Buaya kerana dipercayai terdapat banyak buaya tembaga di sungai berkenaan.

"Usaha ini untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri dan petanda yang baik kepada penduduk khususnya di Port Dickson kerana akan menjadi suatu tarikan pelancong ke daerah berkenaan.

"Kita berharap pelancong datang ke Port Dickson dapat tinggal lebih lama, iaitu selepas mereka beriadah di kawasan pantai, boleh menyusuri Sungai Linggi menggunakan perkhidmatan bot untuk melihat buaya dari dekat.

"Pelancong boleh menikmati keindahan flora dan fauna di sepanjang sungai itu," katanya.

Berpotensi produk ekopelancongan

Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun menganggap rancangan Sungai Linggi berpotensi menjadi antara produk ekopelancongan terbaharu di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya sudah melantik perunding pada Disember lalu untuk menjalankan kajian dan tinjauan terperinci terhadap kedudukan buaya di sungai berkenaan.

Pelancong yang sempat menyelusuri Sungai Linggi menikmati keindahan alam sekitar sebelum pandemik COVID-19. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Pelancong yang sempat menyelusuri Sungai Linggi menikmati 
keindahan alam sekitar sebelum pandemik COVID-19. - 
NSTP/Mohd Amin Jalil

"Projek ini masih dalam kajian kerana kita perlu melihat daripada pelbagai aspek, seperti habitat atau jumlah buaya dan spesies di sepanjang sungai itu.

"Sungai Linggi yang bersambung dengan Sungai Timun di Rembau diyakini banyak buaya kerana air sungai itu yang bersih dan tidak tercemar, menjadikan kawasan itu habitat reptilia berkenaan.

"Namun kajian dan tinjauan menyeluruh perlu dibuat terlebih dulu sebelum pengwujudan Pusat Santuari Buaya dapat direalisasikan. Kajian itu dijangka mengambil masa antara tujuh hingga sembilan bulan," katanya.

Pihaknya akan membantu dari segi kepakaran dalam menjayakan projek berkenaan.

Lokasi sebenar Pusat Santuari Buaya yang dicadangkan itu setakat ini belum dimuktamadkan walaupun sudah dikenal pasti.

"Lokasinya akan ditentukan selepas kajian dan cadangan pihak perunding. Pengwujudan Pusat Santuari Buaya ini kelak akan memberi peluang pelancong melihat dari dekat buaya," katanya.

Tiada ulasan: