Ahad, 19 Mei 2019

Kes bunuh ketua jururawat: Pas pelancong suspek lebih tempoh

ISMA WEB

Mangsa mengenali suspek melalui sosial media tahun lepas



KUALA LUMPUR – Suspek utama lelaki Nigeria, yang ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh Ketua Jururawat, Siti Kharina Mohd Kamarudin dikatakan mengenali wanita itu melalui media sosial pada tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan mendapati lelaki yang disyaki suspek utama kes itu datang ke Malaysia awal Januari lepas, dan mereka pernah berjumpa.

“Dia memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelancong sejak Januari lepas. Dia telah menetap lebih masa di negara ini,” katanya, ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, polis masih menyiasat butir-butir diri seorang wanita Nigeria dan seorang lelaki Pakistan yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Siti Kharina dijumpai dibunuh di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala dan semalam polis mengesahkan kematian Ketua Jururawat itu adalah akibat luka hirisan di leher.

Berikutan penemuan mayat wanita itu, polis menahan tiga individu disyaki terlibat dengan kes itu. -Bernama


Tiada ulasan: