Rabu, 22 Mei 2019

Kereta peronda polis masuk longkang

Norizuan Shamsuddin
 
 

DUA anggota polis cedera apabila kereta peronda polis (MPV) dinaiki terbabas dan merempuh kereta yang diletakkan di bahu jalan sebelum jatuh ke dalam longkang di Putra Perdana, Subang Jaya, semalam.

Difahamkan kejadian berlaku apabila MPV model Proton Inspira dinaiki dua anggota terbabit mengejar kenderaan yang cuba meloloskan diri ketika sekatan jalan raya, kira-kira 2 pagi.

Ketika mengejar kenderaan itu, MPV dipandu oleh dua anggota terbabit terbabas sebelum melanggar kereta Perodua Kancil di bahu jalan berkenaan.

Kejadian menyebabkan dua kenderaan terbabit terjunam ke dalam longkang besar di tepi jalan.

Susulan itu, anggota terbabit menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Sepang memaklumkan mengenai kejadian untuk mendapatkan bantuan, pada 2.28 pagi.

Dua anggota terbabit dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.

Kejadian menyebabkan kenderaan yang melepasi sekatan polis itu melarikan diri dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti serta mengesan individu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan dua anggotanya.

“Dua anggota berusia 30-an terbabit cedera, seorang terseliuh di bahu dan seorang lagi patah tangan. Mereka kini sedang menerima rawatan.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kejadian sedang dilakukan dan pihak polis juga giat mengesan suspek melarikan diri daripada sekatan jalan raya terbabit,” katanya.

Kejadian turut tular selepas gambar MPV dan Pwrodua Kancil terbabit menjunam dalam longkang terbabit tersebar di media sosial, hari ini.

Tiada ulasan: