Zam dakwa mendapat maklumat yang sah bahawa
Najib tidak menyokong Tun M dalam Pemilihan UMNO pada 1987, sebaliknya
Najib menyokong Tengku Razaleigh.
PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pemilihan UMNO pada 1987.
Bekas Menteri Penerangan itu sebaliknya mendakwa, Najib menyokong Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden UMNO.
Sehubungan itu, Zam mendakwa Najib berbohong apabila membuat pengakuan beliau menyokong Tun M dalam Pemilihan UMNO 1987.
“Saya tahu kerana saya adalah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu masa itu yang mendapat maklumat yang sah daripada wartawan yang bertugas di lapangan. Jika tidak kerana tekanan Anwar Ibrahim, Najib takkan sokong Mahathir,” tulisnya di blog zamkata.blogspot.com.
Zam berkata, beliau kembali ingat fakta itu selepas mendapat mesej daripada kenalan yang juga bekas pegawai tinggi UMNO.
“Dia bohong sokong Dr Mahathir 1987. Dia mula sokong TR (Tengku Razaleigh) saya masih ingat lagi. Masa itu dia timbalan AI (Anwar Ibrahim). AI yang tekan dia sokong Dr M, banyak saksi yang masih hidup. ‘He is really desperate’ (dia benar-benar terdesak). Dr M menang dengan 44 undi . ‘He didn’t campaign at all. He is playing safe’ (dia tak berkempen langsung, dia ambil jalan selamat),” tulis Zam memetik pesanan bekas pegawai berkenaan.
Zam berkata, bekas pemimpin UMNO itu menghantar mesej kepadanya selepas Najib berucap di Tawau dan mendakwa menyokong Dr Mahathir dalam persaingan pucuk pimpinan 1987.
Zam berkata, memang benar Dr Mahathir tidak berundur walaupun hanya mendapat sokongan 50 peratus dalam parti, namun keadaan dan situasi mereka berbeza.
“Hakikatnya pada masa itu walaupun parti berpecah belah tetapi Mahathir berani bertahan kerana sokongan rakyat kepadanya di luar parti terutamanya Melayu di samping Cina dan India adalah kuat dan kedudukan BN dalam Parlimen teguh tetapi sekarang orang Cina dan India tidak menyokong Najib kecuali “I Love You Palsu”,katanya.
Malah, apa yang berlaku ketika zaman transformasi Najib, rakyat sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya baik dari segi, agama mahupun bangsa.
Zam sekali lagi menyarankan supaya Majlis Tertinggi UMNO berani menyuarakan perkara sebenar bahawa sokongan Ketua-ketua UMNO Bahagian dan rakyat yang dinyata sebelum ini hanyalah palsu belaka.
Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Khairy Jamaluddin perlu berani dan tidak hanya berjuang untuk menyelamatkan diri serta kedudukan semata-mata sedangkan rakyat menaruh harapan penuh kepada mereka.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Khairy Jamaluddin tidak sewajarnya ‘hanya berani di luar tetapi kecut di dalam’.
“Apa gunanya berjuang kalau sekadar untuk menyelamatkan diri ketika rakyat tergugat dan menaruh harapan yang sangat tinggi .
“Inikah sikap seorang pemimpin sejati atau sekadar untuk mengekalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri?”, soal Zam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan