KUALA LUMPUR - Umno perlu terus diperkasa sebagai sebuah parti yang memberi perlindungan dan juga payung kepada bangsa Melayu serta Bumiputera supaya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata, parti itu tidak harus dilihat sebagai sebuah parti yang ekslusif hanya untuk menguatkan individu tertentu memandangkan kekuatan parti itu terletak atas dasar sokongan akar umbi.
  
"Ini penting bagi kita supaya parti keramat yang menjangkau usia 69 tahun ini akan terus mendapat tempat dan sokongan daripada akar umbi, khususnya golongan muda yang menjadi pelapis kepada barisan pimpinan pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun Umno ke-69 di sini, hari ini.
  
Sehubungan itu, beliau berkata keyakinan rakyat harus segera dikembalikan bagi memastikan Umno terus relevan dan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.
  
Sambutan ulang tahun ke-69 Umno akan disempurnakan oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini. - Bernama