Sabtu, 16 Mei 2015

Umat Islam digesa selar sikap biadap DAP - Aidit

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini digesa menyelar tindakan biadap DAP yang melarang PAS 'masuk' ke Selangor ekoran bantahan parti itu terhadap hukum hudud.
 
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Aidit Ghazali berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Khim secara tidak langsung  dilihat seperti menghina hukum Islam.
 
Teng sebelum ini menerusi laman Facebooknya  melarang PAS mengadakan Mukmatar Tahunannya di Selangor sekaligus membincangkan perihal hudud yang konsisten dibantah DAP sebelum ini.
 
Teng bertegas sedemikian selepas ketuanya, Lim Kit Siang dikritik PAS Kelantan selepas beliau tampil memberi ceramah berkenaan penolakkan DAP terhadap hudud di Kota Bharu, baru-baru ini.
 
"Kalau orang lain hendak mempolitikkan isu itu, itu mereka punya pasal tetapi orang Islam, kita perlu sentiasa memartabatkan soal hudud ini adalah sebahagian daripada hukum Allah.
 
"Jadi pada saya, saya menggesa semua lapisan masyarakat orang Islam supaya bangun dan menyatakan kemarahan mereka terhadap kata-kata bacul yang datang daripada Lim Kit Siang dan juga Teng. Jangan izinkan mereka-mereka ini atau pun mana-mana pihak sekali pun untuk merendah-rendahkan atau memperkecilkan martabat hukum Allah," katanya kepada Antarapos.
 
Aidit turut mengingatkan Teng supaya mengkaji semula sejarah tanah Melayu sebelum melarang PAS daripada masuk ke Selangor.
 
"Soal hendak menghalang konon-konon orang masuk Selangor dan sebagainya, itu bukan hak dia. Ini ialah tanah Melayu, saya hendak tegaskan ini adalah tanah Melayu.
 
"Soal kedudukan Islam di tanah Melayu adalah jelas mengikut perlembagaan persekutuan, lalu kalau mana-mana pemimpin DAP menyatakan sesuatu yang berlawanan terhadap pelaksanaan hudud, pada saya mereka sebenarnya mencemar, menggugat dan sebenarnya hendak meruntuh perlembagaan persekutuan di negara kita ini," katanya.
 
Aidit juga meminta Teng mengambilkira hudud adalah perjuangan sedia ada PAS sebelum parti itu berkeputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat.
 
"Kita ada ke komen tentang budaya Cina? Kita ada ke komen hukum-hukum dalam Bible? Itu kita tiada, yang sebenarnya yang mulakan segala kecoh dan huru-hara ini ialah di kalangan puak-puak DAP.
 
"Mempersoalkan hukum Allah, mempersoalkan kedudukan syariah, mempersoalkan hak umat Islam, mereka yang mulakan dan mereka memang ada niat jahat. Mereka memang dikenali sebagai puak-puak yang tidak mendokong Islam pun. Jadi kemarahan saya sebenarnya ditujukan kepada orang-orang Melayu dan Islam yang sanggup memberi muka kepada puak-puak yang terkenal sebagai jarang sekali hendak mendokong Islam atau pun hak orang Islam," katanya.
 
 

Tiada ulasan: