OLEH MD IZWAN
Kredibiliti
seorang presiden Umno tidak pernah menimbulkan kesangsian dan
kebimbangan sehebat apa yang berlaku terhadap kepimpinan Datuk Seri
Najib Razak sekarang, kata seorang ketua bahagian, ketika ahli di
peringkat akar umbi dan orang ramai makin mendidih melihat kontroversi
terbaru berhubung urusan jual beli tanah antara 1Malaysia Development
Bhd (1MDB) dan Lembaga Tabung Haji.
Kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib sejak tahun
lepas menyebabkan berlaku perpecahan dalam akar umbi Umno walaupun ada
yang menzahirkan solidariti, seperti ketika satu perhimpunan antara
perdana menteri dan ketua bahagian seluruh negara pada Mac.
Tetapi, perjanjian Tabung Haji-1MDB mungkin meningkatkan lagi tekanan
ke atas Najib, kata Ketua Umno Bahagian Kulim Datuk Abdul Aziz Sheikh
Fadzir.
"Bila tidak ada tindakan langsung (1MDB), ia beri gambaran perdana
menteri terlibat, jadi (ahli) yang di bawah ini ada kebimbangan dan
kesangsian. Kita nak tolak kesangsian itu," Aziz memberitahu The
Malaysian Insider (TMI), merujuk kontroversi sekitar 1MDB dan tiadanya
jawapan yang memuaskan.
1MDB baru-baru ini menjual kepada Tabung Haji tanah seluas 0.63 hektar
di projek Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM188.5 juta, jauh lebih
tinggi daripada apa yang dibayar ketika membeli tanah itu daripada
kerajaan pada RM65 setiap kaki persegi.
"Sentimen akar umbi cukup marah, cukup kecewa," kata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.
Dalam sejarah Umno, ini juga kali pertama kredibiliti Najib dipersoal sehingga hilang rasa hormat kepadanya, kata Aziz.
"Sekarang ini, orang sangsi dengan kredibiliti yang berhormat presiden.
Kesangsian itu buat orang tidak percaya dengan kredibilitinya dan tidak
hormat beliau.
"Tidak pernah sebelum ini sampai ke tahap ke situ, ini kali pertama," kata Aziz.
Perasaan tidak senang akar umbi terhadap Najib, yang juga menteri
kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, terlihat semasa mesyuarat
peringkat cawangan, apabila beberapa usul hangat dibawa mengenai 1MDB,
dana pelaburan strategik negara yang menanggung hutang mencecah RM42
bilion itu.
Pada masa sama, terdapat juga usul supaya tindakan diambil ke atas Dr
Mahathir kerana kritikannya, menunjukkan pertembungan antara mereka
mewujudkan bibit-bibit perpecahan antara bekas perdana menteri dan
perdana menteri sekarang.
Lebih 20,000 cawangan Umno di seluruh negara perlu mengadakan mesyuarat
agung tahunan mereka bagi tahun ini sebelum akhir bulan Mei.
Antara usul yang dibentangkan pada mesyuarat ini menunjukkan wujud
perselisihan dalam Umno. Mereka sama ada mahu Dr Mahathir dikecam atau
Najib meletak jawatan daripada jawatannya dalam parti.
Difahamkan, tiada satu pun usul itu mendapat sokongan yang diperlukan
bagi membolehkan ia diterima pakai sebagai pendirian rasmi cawangan.
Sebagai contoh, ahli Umno cawangan Bukit Jelutong, dalam bahagian Shah
Alam, membentangkan usul pada mesyuarat mereka baru-baru ini untuk
memecat Najib sebagai presiden.
Bagaimanapun, usul tersebut tidak dibahas dan ditolak, kata Naib Ketua
Bahagian Shah Alam Datuk Nor Hisham Ses, yang mengakui usul sama turut
dibuat di peringkat bahagian, tetapi ia tidak mendapat sokongan.
Mesyuarat agung tahunan bahagian hanya akan diadakan selepas semua mesyuarat cawangan selesai.
"Kalau ada ahli-ahli nak usulkan sesuatu, kita tidak boleh halang. Usul
itu memang berlaku. Di peringkat bahagian pun ada. Dan sudah ada
respons usul tersebut untuk dipertimbangkan, supaya ditarik, dan usul
tersebut tidak dibahaskan, serta tidak ada sokongan," kata Nor Hisham
kepada TMI.
Pemimpin bahagian merupakan pemimpin parti peringkat pertengahan yang
berpengaruh menentukan dasar parti. Pada perhimpunan 8 Mac lalu, 160
daripada mereka berjanji menyokong kepimpinan Najib.
Seorang blogger pro-Umno, Shahbudin Husin berkata, terdapat pemimpin
cawangan di Wilayah Persekutuan yang menghubunginya menyatakan sokongan
terhadap beberapa usul menentang Najib.
"Ada beberapa pemimpin cawangan di Wilayah Persekutuan yang menghubungi
saya. Mereka kata sepatutnya usul memecat Najib dibawa...
"Tapi disebabkan mereka selesai bermesyuarat awal, mereka tidak dapat membawa usul tersebut," katanya.
Walaupun usul tersebut tidak berjaya diketengahkan, hakikat yang mereka
membentangkannya mencabar solidariti yang ditunjukkan dan dakwaan yang
Najib menerima sokongan penuh daripada partinya.
Shahbudin tidak menafikan terdapat perpecahan di peringkat akar umbi
yang ditambah buruk lagi dengan tiadanya penjelasan daripada Najib
walaupun diserang secara berterusan tanpa henti oleh Dr Mahathir.
"Beliau (Najib) tidak menjawab atau memberi penjelasan, ini
mengelirukan mereka yang berada di peringkat bawah ini," katanya kepada
TMI.
Di sebalik semua ini, ahli Umno cawangan Sri Labuan, dalam bahagian
Umno Bandar Tun Razak, mencadangkan supaya diambil tindakan disiplin
terhadap Dr Mahathir yang lantang mengkritik Najib ketika ini.
Bekas perdana menteri itu gigih mengkritik Najib, antara lain,
berhubung cara beliau mengendalikan 1MDB dan bantuan wang tunai yang
diberi di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Dr Mahathir juga menuduh keluarga Najib mengamalkan gaya hidup mewah
dan memberi amaran kepada ahli Umno yang parti itu akan kalah dalam
pilihan raya umum akan datang jika Najib tidak disingkirkan.
Bagi bekas menteri kabinet Tan Sri Zainuddin Maidin, krisis keyakinan
terhadap Najib ketika ini perlu diatasi ahli Umno dengan cara
bertoleransi bagi mengelak perpecahan lebih teruk dalam parti.
"Umno peringkat cawangan harus mempunyai toleransi yang tinggi, seperti
Najib juga dalam menghadapi krisis keyakinan ini. Sekiranya mereka
membuat keputusan sembarangan, mungkin akan menambah teruk perpecahan
dalam parti."
Aktivis parti Umno Kedah, Ramli Mohd Yunus berkata unsur penentangan di
peringkat akar umbi yang sedang berlaku ketika ini satu tanda baik,
menunjukkan mereka peka kepada isu melibatkan pentadbiran dan
kepimpinan.
"Ahli dan masyarakat bawahan sudah mula prihatin dan sensitif terhadap
isu kepimpinan negara. Mereka juga sudah berani menyatakan sikap dan
pandangan kerana mereka sedar yang berlaku dalam pentadbiran juga
melibatkan mereka," kata ahli bahagian Umno Pokok Sena itu.
Bagi penganalisis politik Merdeka Centre Ibrahim Suffian, krisis
dalaman parti akibat perselisihan antara Dr Mahathir dan Najib, kini
makin teruk selepas kontroversi Tabung Haji-1MDB, lebih bahaya bagi Umno
berbanding serangan pihak pembangkang, yang sebenarnya mendapat lebih
kelebihan daripadanya.
"Secara umum, orang ramai menyokong dan memiliki rasa hormat yang
tinggi (kepada Dr Mahathir), khususnya masyarakat Melayu yang tidak
menyokong pembangkang. Beliau dilihat sebagai seorang negarawan, malah
dalam Umno sendiri," katanya.
"Biasanya, pembangkang akan mendapat peningkatan bila berlaku krisis
dalam Umno. Hanya dengan ada krisis dalaman Umno sahaja, pembangkang
akan menang."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan