Isnin, 11 Mei 2015

Pilihan Raya Kecil : Fix deposit BN di Felda boleh dilebur

Oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

MERUJUK kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) P091 Rompin baru-baru ini, jelas terbukti bahawa sokongan pengundi yang terdiri daripada masyarakat Felda, iaitu peneroka-peneroka, boleh beralih arah, iaitu daripada menyokong parti pemerintah - Barisan Nasional (BN) - kepada parti pembangkang, yakni Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, masyarakat Felda terkenal sebagai penyokong tegar BN khususnya Umno sehinggakan golongan ini boleh disifatkan sebagai 'fix deposit' Umno/BN dalam mengekalkan kuasa pemerintahannya. Sebelum ini, dalam apa keadaan sekalipun, masyarakat ini terus setia menyokong BN dan ia cukup menyulitkan pembangkang untuk menang di kawasan-kawasan yang majoritinya melibatkan golongan ini.

Calon-calon BN selama ini berasa amat selesa sekiranya kawasan yang ditandinginya melibatkan pengundi-pengundi terdiri daripada anggota masyarakat Felda. Jaminan menang buat mereka cukup besar di situ. Justeru BN akan selamanya meletakkan harapan yang besar kepada golongan ini untuk terus mendokong mereka, sekali gus membuatkan mereka kekal berkuasa.

Keputusan PRK Rompin 5 Mei lalu menunjukkan bahawa mitos ini sudah tiba masa untuk lebur. Peningkatan yang ketara undi masyarakat Felda terutama golongan mudanya kepada pembangkang perlu diberi perhatian serius oleh Pakatan Rakyat khususnya PAS yang banyak bertanding di kawasan pendalaman yang melibatkan  penempatan Felda seperti Rompin ini.

Menurut penganalisis, dalam kempen PRK Rompin, Kesatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), sebuah NGO yang dinaungi PAS, ternyata berjaya mengetengahkan isu-isu melibatkan masyarakat Felda, seiring isu nasional seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB yang banyak diperkatakan. Ia memainkan peranan cukup besar meraih undi masyarakat Felda kepada PAS.

Isu perumahan untuk generasi kedua Felda, isu gred perahan buah sawit, isu tanam semula, FGV, kelemahan pentadbiran Felda serta beberapa lagi yang diungkapkan secara kemas, dibantu oleh beberapa orang bekas pegawai besar Felda, ternyata mendapat perhatian warga Felda. Natijahnya, PAS mendapat lonjakan jumlah pengundi yang ketara daripada warga Felda terutama golongan mudanya sehinggakan PAS menang di Felda Keratong 2 dan 4.

Tidak hairanlah, merujuk kepada keputusan PRK Rompin itu, biarpun BN menang selesa, Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Razak berkata, BN akan mengkaji dan memberikan perhatian yang serius terhadap keputusan tersebut. Mengapa tidak, keputusan tersebut memberi isyarat bahawa Felda tidak lagi selamat untuk terus dianggap 'fix deposit' buat BN, dan BN perlu berbuat sesuatu jika mahu mengekalkan sokongan warga berkenaan. Jika tidak, pada pilihan raya akan datang, peluang buat pembangkang semakin cerah.

Keputusan PRK Rompin ini perlu menjadi suntikan buat Pakatan Rakyat khususnya PAS bahawa, Felda yang menjadi sebahagian daripada 'power base' BN itu boleh diruntuhkan jika usaha yang tepat dan berterusan dijalankan serta dipertingkatkan.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat, khususnya PAS perlu memperkasakan Anak supaya NGO tersebut dapat bergerak selesa dan terbantu dalam usaha mengetengahkan isu-isu yang membabitkan warga Felda. Operasi memberi kesedaran kepada warga Felda perlu digembeling secara profesional dan tumpuan harus diberikan kepada golongan mudanya yang lebih terbuka dan bermaklumat.

Program pendedahan kepincangan pengurusan serta pentadbiran, perbincangan mengenai masa depan generasi kedua Felda harus kerap diadakan dan perlu melibatkan golongan muda Felda yang bermaklumat. Isu-isu 'bread and butter' golongan ini perlu diketengahkan dan pembangkang mesti dilihat mengongsi masalah yang mereka hadapi serta bersedia menawarkan pembelaan. 

Kesemuanya perlu dilakukan secara berterusan sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. Jika semua ini dilakukan, BN khususnya Umno akan berhadapan dengan mimpi yang sangat menakutkan. 
 

Tiada ulasan: