PETALING JAYA: Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menegur Datuk Seri
S. Samy Vellu dengan meminta supaya bekas presiden itu tidak mencampuri
urusan politik dalaman parti.
"Dia telah letak jawatan dan dia patut jangan masuk campur. Masyarakat India beri dia masa hampir 30 tahun dan itu sudah cukup.
"Taraf kehidupan masyarakat masih gagal dicapai. Ini bukan pandangan
saya. Itulah hakikatnya," kata Palanivel dalam satu kenyataan pada Ahad.
"Lain pemimpin mempunyai lain cara kepimpinannya. Dia dengan cara dia
dan saya dengan cara saya. Ini adalah masa untuk membolehkan saya
melakukan dengan cara saya bagi mempertingkatkan taraf kehidupan
masyarakat India di negara ini," katanya.
Palanivel mendakwa bahawa beliau telah melakukan lebih banyak perkara
untuk masyarakat India dalam tempoh singkat sebagai presiden berbanding
Samy Vellu memegang jawatan itu selama 29 tahun.
"Samy Vellu begitu faham dengan perlembagaan parti dan dia sepatutnya
lebih cukup 'gentleman' untuk menyerahkan MIED (Institut Pembangunan
Pendidikan Maju) dan AIMST (Universiti Institut Perubatan, Sains dan
Teknologi Asia) kepada MIC dan meletakkan jawatannya dalam entiti-entiti
ini," tambahnya.
Palanivel turut meminta supaya Samy Vellu meletakkan jawatan sebagai
duta khas Malaysia untuk infrastruktur bagi India dan rantau Asia
Selatan.
Beliau turut mempersoalkan jumlah perniagaan yang diperoleh Samy Vellu dengan menduduki jawatan itu.
"Dia mencampuri urusan MIC dan menghasut orang lain untuk menentang saya, daripada menumpukan tugasnya sebagai duta khas.
"Rahsia mengenai dia menghasut orang untuk menentang saya telah pun diketahui," kata Palanivel.
Baru-baru ini, Samy Vellu merupakan presiden yang paling lama
berkhidmat kepada MIC berkata, masyarakat India tidak peduli tentang
MIC. Beliau menyalahkan Palanivel mengenai perkara itu.
Januari lalu, Samy Vellu menggesa Palanivel supaya 'menyelamatkan
parti'. Dalam menyuarakan kebimbangannya mengenai perbalahan dalaman
MIC, Samy Vellu meminta Palanivel melibatkan diri dengan ahli-ahli parti
walaupun dia mendapatkan kritikan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan