SEREMBAN - Kegagalan kerajaan mengagihkan komputer riba yang dijanjikan kepada warga pendidik setahun lalu, mengundang rasa terkilan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.

Kok Seong berkata, pada 16 Mei tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan sebanyak 400,000 unit Netbook 1Malaysia akan diberikan kepada warga pendidik sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka terhadap negara.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam, genap setahun, tiada satu pun komputer riba tersebut diserahkan kepada guru, malah ada sebahagian mereka sudah mula tertanya-tanya dan menagih janji menteri terbabit.

Menurutnya, beliau pernah didatangi beberapa guru yang bertanyakan mengenai perkara tersebut.

"Walaupun ini bukan dalam bidang kuasa saya, namun sebagai wakil rakyat di Parlimen, saya mempunyai jawapan yang diberikan semasa persidangan Parlimen Mac lalu.

“Jawapan diterima sangat menyedihkan apabila dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan meneruskan pemberian Netbook 1Malaysia kepada 400,000 guru kerana bilangan yang disediakan tidak mencukupi," katanya.

Selain itu, katanya, KPM juga berpandangan bahawa penggunaan komputer riba itu dapat dioptimumkan sekiranya ditempatkan di makmal komputer sekolah dan dilengkapkan dengan perkhidmatan sokongan teknikal juruteknik KPM.

"Bagaimanapun, KPM menyediakan perkhidmatan Netbook 1Malaysia untuk pinjaman guru jika ada keperluan dan sebanyak 218,002 unit Netbook 1Malaysia kepada 4,501 sekolah dan 367 Pusat Kegiatan Guru (PKG) seluruh Malaysia,” katanya di sini, semalam.

Kok Seong, sekiranya KPM tidak mampu menunaikan janji itu, sepatutnya jangan sesekali menabur janji manis kepada rakyat, terutama guru.

“Oleh itu, saya menggesa pihak berkaitan supaya tampil memberi penjelasan apa sebenarnya berlaku agar guru-guru di negara ini tidak rasa tertipu,” katanya.