MALAYSIAKINI
Gerakan Selamatkan Tabung Haji (Selamatkan Tabung Haji) membantah
sekeras-kerasnya penggunaan dana Tabung Haji untuk menyelamatkan
syarikat 1MDB, sebuah lagi syarikat milik kerajaan yang diselubungi
pelbagai skandal.
Syarikat dana berdaulat yang berhutang sebanyak RM42 bilion ini
dilaporkan terlibat di dalam pelbagai transaksi kewangan yang meragukan
menyebabkan ia kekeringan kemudahan tunai dan gagal melunaskan hutang
pada masanya.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa pembayaran balik hutangnya dengan
beberapa buah bank telah tertangguh beberapa kali. Uuntuk mengelakkan
hutang berkenaan dari diklasifikasikan ke dalam kategori hutang tidak
berbayar, syarikat 1MBD dikatakan telah meminjam wang dari seorang ahli
korporat ternama untuk melunaskan hutang yang tertangguh pembayarannya
itu.
Juga dilaporkan, Kementerian Kewangan telah membuka kemudahan surat
kredit dengan had kemudahan sebanyak RM950 juta bertujuan melegakan
kesempitan mudah tunai yang sedang dihadapi oleh syarikat berkenaan.
Sebagai satu usaha untuk melegakan kesempitan mudah tunai yang dihadapi,
syarikat 1MDB pada awalnya dilaporkan telah mencairkan portfolio
pelaburan sulitnya di Cayman Island. Tetapi khabarnya, dana tunai itu
tidak dibawa masuk terus ke Malaysia tetapi sebaliknya, telah
dipindahkan ke sebuah bank di Singapura.
1MDB mendakwa, ia bagi mengelakkan “peraturan Bank Negara yang lebih
ketat” dalam hal membawa dana masuk dari luar negara, berbanding dengan
“amalan yang lebih mudah yang berkuatkuasa di Singapura.”
Sampai ke hari ini, tidak diketahui kedudukan dana tunai ini sama ada
ia masih disimpan di Singapura atau telah dibawa balik ke Malaysia.
Terkini dilaporkan bahawa tiada dana milik syarikat 1MDB di dalam akaun
banknya di Singapura dan dokumen yang didakwa menunjukkan dana tunai itu
ada di dalam akaun berkenaan dilaporkan sebagai dokumen palsu.
Langkah terdesak
Apapun, yang jelas, syarikat 1MDB terus berdepan dengan situasi
kesempitan mudah tunai dan mungkin tidak mampu membayar hutang yang
tinggi.
Gerakan Menyelamatkan Tabung Haji percaya bahawa keadaan terdesak yang
dihadapi oleh oleh syarikat 1MDB seperti yang disebut di atas memaksa
syarikat dana daulat ini menjual tanah miliknya di TRX bagi menjana
tunai dengan secepat mungkin untuk melunaskan hutang atau bunga ke atas
hutang yang sudah sampai tempohnya untuk dibayar.
Tindakan menjual tanah seluas satu setengah ekar di TRX kepada Tabung
Haji pada harga yang luarbiasa tingginya adalah satu tindakan terdesak
untuk menjana tunai dengan secepat mungkin bagi menyelamatkan syarikat
1MDB dari dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank.
Untuk tanah seluas satu setengah ekar, Tabung Haji membayar RM188.5 juta
tunai, tidak seperti amalan biasa di mana pembeli biasanya membayar
antara 10 hingga 20 peratus wang pendahuluan dan selebihnya setelah
segala urusan perundangan dan lain-lain urusan berkaitan dengan
transaksi berkenaan dimuktamadkan.
Mengikut amalan biasa, pihak pembeli seperti Tabung Haji ini perlu
membuat penelitian wajar ke atas hartanah yang bakal dibeli, melantik
juru ukur dan juru nilai bertauliah untuk mengesahkan nilai hartanah dan
hartanah yang hendak dibeli bebas dari sebarang ikatan hak dan
seterusnya menguruskan segala aspek perundangan berkaitan transaksi
berkenaan.
Amatlah menghairankan, proses yang lazimnya memakan masa agak panjang
dapat dibereskan dalam masa yang agak pendek. Namun dalam kes ini,
transaksi ini dimuktamadkan dengan pembayaran penuh dan segera kepada
penjual dengan kepantasan luar biasa.
Ini mengundang persepsi bahawa urusniaga hartanah di antara 1MDB dan
Tabung Haji ini tidak lain adalah helah dan muslihat untuk menggunakan
dana Tabung Haji untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang diselubungi
pelbagai skandal, 1MDB.
Kita tahu 1MDB banyak berhutang dan kebarangkaliannya tinggi bahawa hartanah di TRX itu sudah dicagarkan kepada bank.
Jadi ikutan pemimpin lain
Transaksi hartanah 1MDB-Tabung Haji ini dengan jelas menunjukkan bahawa
perdana menteri Malaysia boleh, pada bila-bila masa, mempengaruhi proses
membuat keputusan di Tabung Haji. Ini adalah satu tindakan pemula yang
bakal ditiru dan diulang oleh pemimpin yang lain.
Justeru, campur tangan ini perlu dibantah sekeras-kerasnya kerana ini
adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dalam urusan dana awam dan
bertentangan sama sekali dengan prinsip urus tadbir yang baik,
ketelusan, amanah dan tanggungjawab dalam pengurusan dana awam.
Harus dingat bahawa dana Tabung Haji adalah hak milik penabung yang
terdiri dari orang Islam yang majoritinya berpendapatan rendah – penoreh
getah, nelayan, pemandu teksi, kakitangan kerajaan dan pekerja
persendirian – yang menabung berdikit-dikit untuk memenuhi hajat ke
Tanah Suci.
Adalah malang wang yang dijana dari keringat dan air mata rakyat marhain
ini disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk
kepentingan yang langsung tidak ada kena mengena dengan kepentingan dan
kebajikan penabung.
Kita dengar, sudah berkali-kali dan Tabung Haji digunakan untuk
menyelamatkan syarikat kerajaan dan syarikat milik keroni kepada
pemimpin tertentu. Maka, sudah sampai masanya penyalahgunaan dana awam
seperti ini dihentikan segera.
Berurusan dengan sebuah syarikat yang dalam penyiasatan oleh pihak
berkuasa dan sebuahsyarikat yang secara terbuka sudah diketahui ada
tuduhan ke atasnya bahawa ia terlibat dalam pelbagai skandal kewangan
adalah menyalah etika perniagaan. Sukar difahami kenapa Tabung Haji
masih mahu berurusniaga dengan syarikat seperti ini.
Dilaporkan perdana menteri mendakwa bahawa pembelian hartanah oleh
Tabung Haji dari 1MDB ini bakal menjana keuntungan lumayan kepada Tabung
Haji, kononnya sehingga ratusan juta. Dakwaan ini boleh dipertikaikan.
Pertama, kalau memang niat Perdana Menteri untuk memberi keuntungan
lumayan kepada Tabung Haji supaya akhirnya penabung akan mendapat
manfaat dalam bentuk bayaran dividen yang tinggi, kenapa tidak dijual
tanah TRX itu kepada Tabung Haji awal-awal lagi pada harga “tanah
kerajaan” seperti yang dibayar oleh 1MDB bila ia membeli tanah itu?
Harga paling mahal di dunia
Kalau sesungguhnya perdana menteri berjiwa Islam dan Melayu, itulah yang
sepatutnya dilakukan kerana penabung di Tabung Haji 100 peratus orang
Islam dan Melayu.
Kedua, sekiranya niat perdana menteri ialah untuk memberi keuntungan
lumayan kepada Tabung Haji, kenapakah hartanah berkenaan dijual kepada
Tabung Haji pada harga yang luar biasa mahalnya, lebih mahal dari
hartanah di Bukit Bintang dan kita difahamkan bahawa hartanah yang
bernama TRX itu seolah-olahnya adalah sekeping hartanah di Kota London
dan New York.
Malah ada pihak yang mendakwa hartanah yang dibeli oleh Tabung Haji itu
adalah sekeping hartanah yang harganya paling mahal di dunia. Oleh yang
demikian, kami melihat bahawa tindakan menjual satu setengah ekar tanah
di TRX oleh 1MDB kepada badan kaya tunai Tabung Haji dengan harga tunai
dibayar segera dan sepenuhnya tidak lain adalah satu tindakan untuk
menyelamatkan 1MDB.
Gerakan Menyelamatkan Tabung Haji (Selamatkan Tabung Haji) berpendirian
Tabung Haji perlu diselamatkan dari menjadi mangsa puak yang
menyalahgunakan kuasa dan yang dilihat tidak berminat untuk menjaga
kepentingan dan kebajikan penabung.
Oleh itu, kami mendesak satu rombakan dan penyusunan semula pengerusi
dan lembaga pengarah Tabung Haji serta pengarah urusan dan timbalan
pengarah urusan hendaklah dilakukan dengan segera.
Tabung Haji hendaklah dibebaskan dari menjadi mangsa kepada gejala
pertembungan kepentingan. Kita tidak boleh membiarkan elemen seperti ini
menjejaskan keutuhan sebuah institusi kewangan Islam yang amat besar
maknanya kepada kepentingan ekonomi umat Islam ini.
Gerakan Selamatkan Tabung Haji menasihatkan supaya penabung mengelakkan
diri dari mengambil tindakan yang negatif yang tidak menguntungkan
Tabung Haji dan penabung sendiri. Jangan ada pihak yang bertindak untuk
mengkrompromi keutuhan Tabung Haji yang telah dibina dari keringat
rakyat miskin.
MAHFUZ OMAR pengerusi Gerakan Selamatkan Tabung Haji dan juga ketua penerangan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan