KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Pas pada pemilihan parti itu yang akan diadakan awal bulan depan.
 
Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau tidak akan sesekali berganjak daripada jawatan itu dan menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahannya kerana ahli Pas masih memerlukan beliau untuk menerajui parti Islam itu.
 
"Saya akan pertahankan jawatan Presiden Pas sebab ahli di peringkat akar umbi masih memerlukan saya (memimpin parti)," katanya kepada pemberita selepas forum Bicara Harakah di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kesediaan bekas naib presiden Pas, Ahmad Awang untuk mencabar jawatan tertinggi Pas itu yang mengesahkan pertandingan itu, minggu lalu.
 
Ahmad melayakkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Pas selepas dicalonkan oleh Pas Kawasan Bukit Gelugur.
 
[ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Awang sukar untuk menang]
 
Beliau juga disahkan mengalahkan Abdul Hadi dalam pemilihan Pas kawasan Jelebu, Negeri Sembilan.
 
Ahmad mendapat 41 undi, Abdul Hadi 16 undi, manakala Pas kawasan itu sebulat suara mencalonkan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas.
 
Pada 21 Mac lalu, Ahmad yang juga bekas pesuruhjaya Pas Perak telah mendapat pencalonan pertama sebagai Presiden Pas dari kawasan Parit Sulung, Johor.
 
Dalam Perlembagaan Pas, untuk bertanding jawatan presiden, seseorang hanya memerlukan pencalonan minimum dua kawasan.
 
Jawatan Presiden Pas tidak pernah dipertandingkan sejak parti itu ditubuhkan pada 1951 dan ini merupakan kali pertama ia dicabar secara demokrasi.