Isnin, 18 Mei 2015

Gantung kerana selfie, ini standard UiTM?

MALAYSIAKINI


 


Tindakan UiTM Melaka menggantung pengajian Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi atas kesalahan merakam gambar potret dirinya (selfie) ketika Majlis Konvokesyen semalam begitu mengejutkan para mahasiswa.

Biro Mahasiswa AMK juga amat sedih dengan tindakan itu. Sepertimana dijelaskan Muhammad Hasrul, tindakannya itu hanya simbolik untuk menunjukkan bakat beliau sebagai graduan jurusan fotografi.

Beliau tetap dikenakan tindakan walau sudah memohon maaf. Perkara ini menunjukkan piawai akademik institusi pengajian tinggi Malaysia yang amat rendah.

Jika dibandingkan lagi, ada mahasiswa di UM boleh menari zapin di atas pentas ketika mengambil ijazah konvokesyen mereka.

Mana letaknya keadilan dalam memberikan hukuman? Adakah ini standard UiTM?

Jika dibandingkan lagi, ada cadangan beberapa pihak supaya seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberi peluang kedua kerana kesalahan merakam dan memiliki bahan pedofilia di London.

Ada pihak yang mencadangkan agar pelajar tersebut, Nur Fitri Azmeer, diberi peluang meneruskan pengajiannya di dalam negara setelah selesai menjalani hukuman penjara di London.

Cadangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Malang juga bagi mahasiswa yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan bersuara terus digantung pengajian tanpa diberi peluang kedua.

Antaranya Adam Adli, Safwan Anang, Fahmi Zainol dan juga kes terbaru melibatkan lapan siswa UM. Di manakah letaknya kebebasan bersuara mahasiswa?

Biro Mahasiswa AMK menggesa agar UiTM bertindak lebih matang dalam menilai dan menjatuhkan hukuman terhadap mahasiswa. Bagaimana mahasiswa hendak matang kalau pentadbir akademik mahasiswa sendiri masih tidak matang?



EDIKOUP LAKIP SEDIYANTO ketua biro mahasiswa AMK Malaysia.

Tiada ulasan: