Khamis, 14 Mei 2015

Ahmad Awang akan cabar Hadi sebagai presiden PAS

THE MALAYSIAN INSIDER


Ahmad Awang berkata PAS perlu ada perubahan kepimpinan selepas lebih sedekad di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mei, 2015.Ahmad Awang berkata PAS perlu ada perubahan kepimpinan selepas lebih sedekad di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Bekas naib presiden PAS, Ahmad Awang akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden pada pemilihan parti itu pada Jun ini.

Ahmad, 79, berkata beliau menerima pencalonan yang ditawarkan kepadanya kerana percaya parti Islam itu perlu ada perubahan kepimpinan selepas lebih sedekad di bawah Hadi.


"Ini sebuah parti mengamalkan demokrasi dan kita mahu memperkasakan parti," kata Ahmad selepas menyerahkan pencalonannya di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, pagi tadi. Ini merupakan pertama kali Hadi dicabar semenjak memegang jawatan presiden selepas Datuk Fadzil Mohd Noor meninggal dunia.

Katanya, beliau sedar pelbagai komen dibuat terhadapnya menerusi media sosial walaupun beliau baru saja dicalonkan.

Ahmad berkata, beliau juga sedia menerima pencalonan sebagai pemeriksa kira-kira yang disifatkannya penting.

"Saya bukan saja dicalonkan bagi jawatan presiden tetapi turut menerima pencalonan bagi jawatan pemeriksa kira-kira di beberapa tempat.

"Jawatan itu lagi penting, jika laporan kewangan tidak diluluskan oleh pemeriksa kira-kira, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) boleh batalkan," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Asmuni Awi baru-baru ini mengumumkan Ahmad dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Ahmad layak bertanding jawatan presiden.

Asmuni berkata, bagi jawatan presiden untuk Muktamar Tahunan PAS pada Jun depan, walaupun 4 pencalonan diterima, hanya Hadi, Husam dan Ahmad layak untuk bertanding.

Tiada ulasan: