Selasa, 3 Mac 2015

Shafie Apdal ‎enggan ulas keputusan Kabinet tolak suntikan RM3 bilion kepada 1MDB

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


 Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal enggan jawab soalan berhubung anggota Kabinet tolak cadangan suntikan RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad. – Gambar fail oleh The Malaysian Insider, 3 Mac, 2015.Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal enggan jawab soalan berhubung anggota Kabinet tolak cadangan suntikan RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad. – Gambar fail oleh The Malaysian Insider.




























Datuk Seri Shafie Apdal memilih untuk menolak daripada menjawab soalan berhubung isu Kabinet menolak cadangan untuk menyuntik RM3 bilion kepada syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Shafie yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah turut enggan mengulas lanjut apabila ditanya berkenaan keputusan Kabinet itu.

"Dari mana kamu dengar perkara itu? Saya tidak perlu menjawabnya," kata Shafie kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

"(Keputusan) ini adalah perkara yang kami bincangkan butirannya bersama Kabinet," kata Shafie yang juga naib presiden Umno itu. Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhir-akhir ini diserang dengan pelbagai isu termasuk isu 1MDB yang didakwa bergelumang dengan skandal kewangan.

Antara yang lantang mengkritik Putrajaya berhubung syarikat itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, Sarawak Report mendakwa sejumlah AS$700 juta (RM2.5 bilion) pinjaman 1MDB kepada PetroSaudi International (PetroSaudi) pada 2009 dipindahkan ke sebuah syarikat yang dikawal selia ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Memetik dokumen dan emel responden, Sarawak Report berkata, Low terlibat dalam keseluruhan usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi pada 2009.

Dalam respons kepada The Sunday Times yang turut menyiarkan laporan berkenaan, kerajaan Malaysia berkata, Najib tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian syarikat berkenaan, namun berkata ia "diuruskan kumpulan berpengalaman dan profesional".

Sarawak Report mendedahkan bayaran balik hutang syarikat usaha sama 1MDB - PetroSaudi sebanyak AS$700 juta kepada PetroSaudi pada 2009 hanya bagi mengaburi mata, sedangkan wang itu disalurkan kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang didakwa dimiliki Low.

PetroSaudi menafikan laporan itu dan berkata, anak syarikatnya menerima keseluruhan dana syarikat usaha sama itu dan 1MDB mengesahkan menerima pelaburan balik mereka.

Syarikat persendirian itu dalam satu kenyataan berkata, PetroSaudi membayar balik syarikat tersebut dan kedua-dua pihak kini tidak mempunyai sebarang kaitan kewangan mahupun perundangan.

Malah, syarikat itu berkata, mereka merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersebut.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan majoriti menteri semasa mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu lalu tidak meluluskan minit mesyuarat minggu sebelumnya yang menyatakan jumlah dicadangkan itu.

"Kabinet menolak cadangan menyuntik RM3 bilion tunai untuk 1MDB,"kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Sumber lain turut mengesahkan keputusan Kabinet itu, yang dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada syarikat milik penuh kerajaan itu yang ditubuhkan pada 2009 bagi membuat pelaburan dalam sektor ekonomi utama di bawah pemerintahan Najib.

"Pilihan makin sempit untuk Kementerian Kewangan kerana 1MDB tidak boleh mengumpul dananya sendiri sekarang. Ia pada dasarnya memerlukan wang daripada satu-satunya pemegang sahamnya, iaitu kerajaan," kata sumber lain.

Najib, yang juga menteri kewangan, mengetuai lembaga penasihat 1MDB, yang setakat ini menceburi dalam dua pembangunan hartanah yang besar di Kuala Lumpur dan memiliki 15 loji tenaga dan air di rantau Asia.

Keputusan Kabinet itu merupakan satu lagi berita buruk bagi 1MDB, beberapa hari selepas agensi berita Bloomberg melaporkan bon syarikat itu diniagakan seperti sampah ketika pelabur tiada maklumat jelas berhubung rancangan syarikat itu menutup perniagaannya dan menjual asetnya.

1MDB berkata minggu lalu ia tidak akan menjalankan sebarang pelaburan baru selepas ia membentuk entiti yang berasingan bagi projek hartanah dan memperoleh pulangan tunai daripada penjualan perniagaan tenaganya.

Ia membayar balik hutang RM2 bilion pada 13 Februari dengan pinjaman daripada hartawan Malaysia T Ananda Krishnan tetapi itu tidak menyelesaikan masalah bagi firma itu, yang mempunyai jumlah hutang melebihi RM42 bilion, khidmat hutang tahunan sebanyak RM2.31 bilion dan juga aliran tunai negatif RM2.25 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014.

Tiada ulasan: