A Kadir Jasin
PEMBAHAS “berasiam” dalam komen
kepada tampalan bertajuk “A Cabinet Snub For 1MDB?” antara lain, berkata:
“Nampaknya telah disebut secara
jelas siapa yang membiayai pengajian anak-anak almarhumTun Abdul Razak. Utusan
Malaysia hari ini menyiarkan laporan bahawa arwah Tan Sri Mohamed Noah (Beirut)
sebagai datuk (sebelah ibu) kepada merekalah yang menanggung semuanya. Disebut
juga kaitannya dengan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan Genting.
Beliau menambah: “....telah
beberapa kali juga jasa baik DAKJ dipohon untuk mengulas mengenai yayasan
berkenaan sebelum isu pewarisan ini menjadi hangat. Sebagai orang lama yang
terlibat dalam kewartawanan DAKJ pasti mempunyai maklumat lebih banyak mengenai
yayasan berkenaan. Dedah fakta takkan nak kena saman kot. Kalau saman pun
gerenti yang kena saman tidak kalah. Boleh kan.”
Terima kasih. Selain “berasiam”,
beberapa orang pembahas lain turut menyebut mengenai (Tan Sri) Mohamad Noah
Omar. Sebagai jawapan, sila pertimbangkan hujah dan fakta berikut:
1. Siapa yang membiayai pendidikan
Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak bukanlah isunya. Tidak ada
siapa pun yang bertanya atau mempersoalkan pembiayaan pendidikan Mohd Najib.
2. Yang menjadi isu dan pertikaian
ialah dakwaan mengenai gaya hidup mewah yang dipamerkan oleh Mohd Najib,
isterinya (Datin Seri Paduka) Rosmah Mansor dan anak tirinya, Riza Abdul Aziz –
anak Rosmah dengan suami pertamanya.
3. Turut dipersoalkan adalah
hubungan mereka bertiga dengan orang
misteri Jho Taek Low dan dakwaan hubungan sulit Jho Low dengan 1Malaysia
Development Berhad seperti yang dilaporkan oleh akhbar New York Times
pada 8 Feb lalu.
4. Antara lain, NYT memetik seorang
jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai berkata “…neither any money spent on travel, nor any
jewellery purchases, nor the alleged contents of any safes are unusual for a
person of the prime minister’s position, responsibilities and legacy family
assets.” (“…sama ada mana-mana wang yang digunakan untuk perjalanan atau barang
kemas, atau dakwaan kandungan mana-mana peti besi adalah bukan luar biasa bagi
mana-mana orang yang sama kedudukan dengan perdana menteri, tanggungjawab dan
harta peninggalan keluarga.”
5. Media massa bebas dan atas talian
terperanjat dengan kenyataan itu yang seolah-olah memberi gambaran bahawa bapa
beliau, Allahyarham (Tun) Abdul Razak Hussein meninggalkan harta pusaka yang
banyak.
6. Empat orang adik beradik Mohd
Najib - (Datuk) Johari, (Datuk) Nizam, (Datuk) Nazim and (Datuk
Seri) Nazir -mengeluarkan kenyataan pada 24
Feb menyesali hujah Pejabat Perdana Menteri itu. Mereka berkata: “Kami amat
bimbang yang beberapa berita dan tampalan sejak akhir-akhir ini telah
menimbulkan spekulasi mengenai bentuk dan jumlah harta yang ayahanda kami, Tun
Abdul Razak, tinggalkan.
"Kami ingin menyatakan secara bertulis bahawa Tun Abdul Razak adalah seorang yang sangat berprinsip dan dikenali oleh semua orang yang akrab dengan beliau sebagai sangat berjimat cermat dan berintegriti tinggi, dan sebarang kenyataan atau kesimpulan yang bercanggah dengannya adalah bohong dan menyeleweng daripada memori, sumbangan beliau serta pengorbanan beliau kepada negara.
"Kami ingin menyatakan secara bertulis bahawa Tun Abdul Razak adalah seorang yang sangat berprinsip dan dikenali oleh semua orang yang akrab dengan beliau sebagai sangat berjimat cermat dan berintegriti tinggi, dan sebarang kenyataan atau kesimpulan yang bercanggah dengannya adalah bohong dan menyeleweng daripada memori, sumbangan beliau serta pengorbanan beliau kepada negara.
“Kami mengutuk sesiapa saja yang
menodai memori beliau biar apa sekali pun motifnya.”
7. Kenyataan Pejabat Perdana
Menteri itu telah menyebabkan sesetengah pihak, khususnya yang tidak mengenali
Abdul Razak, mempersoalkan integriti beliau sebagai Perdana Menteri yang telus
dan bebas rasuah.
8. Lima hari kemudian, pada 1 Mac,
Berita Harian dan Utusan Malaysia sekonyong-konyong menyiarkan kenyataan Mohd
Najib memuji sifat jimat-cermat dan integriti bapanya.
9. Sebelum itu boleh dikatakan
semua anggota media arus perdana membakulsampahkan kenyataan empat
adik-beradik Mohd Najib mengenai hal yang sama. Hanya media bebas dan media
atas talian saja memberikan ruang kepada mereka.
10. Kata Mohd Najib, bapanya tidak
pernah terlibat dengan amalan rasuah sama ada dalam politik atau ketika dalam
perkhidmatan awam. Utusan juga melaporkan yang Mohamad Noah membiayai
pendidikan Mohd Najib adik-beradik.
11. Malangnya, apabila nama Mohamad
Noah diseret ke dalam isu harta pusaka peninggalan yang didakwa memanfaatkan
Mohd Najib maka timbullah pula persoalan mengenai siapa Mohamad Noah dan apakah
punca kekayaan beliau.
12. Orang yang mengenali
Mohamad Noah, yang nama jolokannya Noah Beirut, akan mengingati beliau sebagai
bapa kepada dua wanita yang mengahwini dua Perdana Menteri Malaysia – (Tun)
Rahah mengahwini Abdul Razak dan Allahyarhamah (Tun) Suhaila mengahwini
Allahyarham (Tun) Hussein Onn.
13. Dalam dunia politik, beliau diingati sebagai antara
pengasas Umno dan Speaker Dewan Rakyat.
14. Tetapi pembabitan dalam perniagaanlah yang menjadikan
beliau istimewa dan kontroversial. Beliau adalah rakan kongsi “Raja Judi”
Malaysia, mendiang (Tan Sri) Lim Goh Tong. Mohamad Noah dan Lim mengasaskan
projek kasino tunggal Malaysia di Genting Highlands pada tahun 1965.
Tiga Sahabat: Tunku Abdul Rahman, Noad dan Lim |
16. Masalahnya, adakah perlu Mohd
Najib dan media massa arus perdana yang menyokong beliau membangkitkan hal
Mohamad Noah membiayai pendidikan cucu-cucunya kerana tidak dapat tidak orang
yang mengetahui latar belakang Mohamad Noah akan mengaitkan beliau dengan lesen
kasino?
17. Di manakah dan apakah peranan penasihat media,
komunikasi, perang saraf dan pereka imej Mohd Najib yang begitu ramai dan
tergolong di dalamnya seorang penasihat orang putih yang dicamkan sebagai Paul Stadlen.
18. Sejak akhir-akhir ini Stadlen
menjadi bahan berita sensasi media atas talian kerana gaya hidupnya. Yang berminat
boleh baca di sini.
19. Apakah semua ini ciri-ciri
sokong membawa rebah dan harapkan pagar, pagar makan padi atau, lebih teruk
daripada itu ia berupa petanda bahawa Perdana Menteri sedang kehilangan jalan
cerita (plot)?
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan