Selasa, 17 Mac 2015

Khalid kesal Amber Chia jadi modal jatuhkannya

MALAYSIAKINI


 


MP Shah Alam Khalid Samad kesal apabila model ternama Amber Chia digunakan sebagai bahan kempen untuk memburuk-burukkan nama beliau menjelang pemilihan PAS, Jun ini.

Ia berlaku selepas beliau hadir bersama beberapa tamu VIP termasuklah Amber Chia dan penyanyi terkenal Ning Baizura dalam satu ekspo perabut dan perhiasan dalaman rumah di Shah Alam, Khamis lepas.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid berkata gambar berkumpulan itu telah disunting untuk menunjukkan beliau dan Chia semata-mata dalam gambar itu.

Gambar itu, kata ahli jawatankuasa PAS pusat kemudiannya disebarkan di media sosial seperti Facebook dan Whatapps untuk menimbulkan persoalan sama ada "Khalid Samad telah menjadi model bergambar bersama Amber Chia".

Dalam gambar itu, Amber Chia memakai baju paras atas lutut di dalam gambar tersebut sementara Khalid pula memakai sepasang sut.

"Walaupun mungkin mereka menganggap saya berbakat sebagai model, saya sedang menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen merasmikan Expo tersebut.

"Dan sebenarnya, saya bukan berdua-duaan dengan Amber, kerana ramai lagi di atas pentas bersama saya," kata Khalid yang turut memuatnaik gambar yang sebenar bagi menolak dakwaan terhadapnya.

Buruk dan jatuhkannya

Serangan itu muncul menjelang pemilihan PAS yang dijangka akan menyaksikan pertembungan antara kumpulan progresif dan pro-ulama.

"Saya faham usaha ‘memburukkan’ saya dilakukan golongan yang ingin ‘menjatuhkan’ saya dalam muktamar Jun ini.

"Mengikut fahaman mereka, PAS tidak boleh keluar dari suasana masjid dan surau serta persekitaran ‘Islamik’.

"Mungkin mereka akan pengsan melihat kehadiran saya di majlis Tahun Baru Cina yang dihadiri masyarakat berbilang kaum dan berbagai pakaian," katanya.

Menurut Khalid, PAS tidak boleh dilihat sebagai antipembangunan atau antiperniagaan - dan sebab yang sama mendorongnya bersetuju merasmikan ekspo itu yang diyakini akan merancakkan ekonomi.

"Lainlah kalau ia ekspo arak atau ekspo pakaian dalam atau pakaian menjolok mata," katanya lagi.

Menurutnya, PAS juga boleh mendekati golongan bukan Muslim dengan menghadiri majlis yang turut dihadiri golongan bukan Muslim. 


Tiada ulasan: