Khamis, 11 Disember 2014

Gagal tahan ‘jerung’, persepsi rasuah di Malaysia memburuk

rasuah

Roketkini.com



KUALA LUMPUR,: Kegagalan untuk menahan ‘ jerung’ dalam tempoh tiga dekad adalah punca mengapa Malaysia sehingga kini tetap gagal memerangi rasuah, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, kajian terbaru Merdeka Center ternyata mengukuhkan bukti yang pernah dikeluarkan Transparency International (TI) bahawa prestasi Malaysia semakin buruk, sedangkan negara serantau dilihat progresif dan menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, Malaysia tidak menunjukkan kemajuan dalam usaha membanteras aktiviti haram itu apabila sehingga kini tidak ada seorang pun didakwa aibat tuduhan rasuah, terutamanya melibatkan kes dengan jumlah besar.

“Kajian Merdeka Center dari 26 November hingga 5 Disember lalu mendapati persepsi awam terhadap rasuah di Malaysia masih tidak berubah sejak tahun 2005 dengan 77 peratus pengundi bersetuju bahawa rasuah di negara ini adalah serius,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ujarnya, kajiselidik dilakukan bersama BFM Radio sempena Hari Anti-Rasuah Sedunia itu juga menunjukkan persepsi ini tidak berubah.

Kajian sama yang dijalankan pada Ogos 2005 dan Jun 2012 mendapati, masing-masing 76 serta 78 peratus rakyat mengatakan rasuah masih amat serius.

“Jadi dimanakah ‘prestasi menggalakkan’ dan ‘kemenangan’ yang kita telah capai dalam perang menentang rasuah ketika Merdeka Center menemui tidak pernah ada perubahan dalam sepuluh tahun terakhir, dengan tujuh dari sepuluh pengundi merasakan bahawa Malaysia adalah korup?, soal Kit Siang.

Kajian yang dijalankan Merdeka Center antara 26 November hingga 5 Disember tahun ini juga mendapati lebih ramai rakyat percaya rasuah telah meningkat sejak tahun lalu dengan 49 peratus dari mereka bersetuju dan hanya 21 peratus tidak bersetuju, manakala 20 peratus berkata ia tidak pernah berubah.

Awal bulan ini, kajian TI meletakkan Malaysia pada kedudukan ke 50 daripada 175 negara dengan nilai indeks sebanyak 52, menurun dua mata lebih berbanding 2013.

“Dengan kedudukan buruk ini dan persepsi orang ramai semakin menurun, bagaimana Najib boleh mengatakan beliau ‘berpuas hati dengan kejayaan’ dicapai apabila rasuah dibawah pentadbirannya lebih teruk daripada Mahathir dan Abdullah Badawi?,” soal Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: