Oleh Subky Latif
Tindakan terbaru kerajaan Pakatan Rakyat Selangor wajar dialu-alukan apabila ia menubuhkan Yayasan ISA walaupun ISA yang menggerunkan sudah diganti dengan yang baru.
Datin Sri Wan Azizah Ismail, ADUN baru Kajang telah menjadi pengerusinya yang pertama dan ia diperuntukkan RM500 ribu bagi melancarkan Yayasan itu.
Yayasan ISA adalah demi membela mangsa ISA yang mangsanya begitu ramai dan boleh dikira keluarga mangsa lazimnya menanggung penderitaan dan terbiar.
Sekalipun mangsa ISA terjamin rezeki selama dalam tahanan, risiko kebuluran adalah kurang, tetapi keluarga mereka – isteri dan anak-anak – walaupun belum ada laporan mereka terpaksa makan ubi gadung, tetapi mereka kesempitan hidup. Persekolahan, sara hidup, kebajikan dan lain-lain bergantung kepada ihsan orang yang belas.
Memanglah kerajaan tidak mengambil tanggungjawab atas keluarga penjenayah baik yang dipenjara mahu pun yang terbunuh. Keluarga penjanayah itu dipercayai tidak berdosa atas jenayah suami atau bapa mereka, tetapi itulah balasan yang terpaksa menimpa keluarga penjenayah. Gara-gara kejahatannya keluarga terpaksa menanggung derita.
Tetapi mangsa ISA bukan penjenayah. Mereka tidak pernah dibicarakan oleh mahkamah. Jika penjenayah dicampak ke penjara oleh mahkamah, mereka tidak pernah dibawa ke mahkamah.
Tahniah buat kerajaan Selangor kerana telah mengambil tanggungjawab yang selama ini tiada terbela. Hanya kumpulan sukarela yang memberi bantuan ala kadar bagi meringankan beban dan keupayaan penyumbang adalah terhad.
Kita tahu beban yang dihadapi oleh isteri Dr Burhanuddin al-Hilmy, Presiden PAS yang pernah menjadi mangsa. Dengan pencennya yang terhad menanggung anak bersekolah. Bagaimana pun keluarga Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Mohamad Sabu dan lain-lain justeru mereka pemimpin besar dan terkenal, ramai pula pengikut dan peminat, mungkin kesempitan mereka tidak seberat yang dialami oleh mangsa yang tidak terkenal.
Jelaslah mereka adalah mangsa kerajaan, terbiar dan menderita kezaliman.
Sekalipun mangsa ISA tidak seramai bilangan rakyat awam yang tertindas dan juga kurang pembelaan, yang ramai itu adalah dalam bidang tanggungjawab kerajaan. Ada kerajaan yang mengaku bertanggungjawab membela mereka. Apakah pembelaan itu ditunaikan, ia sampai atau tidak kepada mereka, bergantung kepada keberkesanan kerajaan. Baik ia ditunaikan atau tidak ditunaikan, telah ada pihak yang bertanggungjawab.
Tetapi mangsa ISA tiada yang bertanggungjawab. Kerajaan berlepas tangan atas persekolahan dan kebajikan mereka. Dengan tindakan kerajaan Selangor itu nasib mereka akan dibela.
Keluarga bekas tahanan seperti Anwar Ibrahim, Mahfuz Omar, Tan Sri Abdullah Ahmad, Zahid Hamidi, Ibrahim Ali dan lain-lain tidak memerlukan perhatian lagi pada masa ini kerana ada sumber pendapatan yang cukup, tetapi keluarga mangsa yang tidak terkenal termasuk dari Sabah dan Sarawak, mereka masih memerlukan pembelaan. Walaupun antara anak-anak mereka sudah jadi orang dewasa, tetapi bagaimana kehidpan seharian dan pekerjaan mereka?
Tentu adalah masih memerlukan pembelaan.
Yayasan itu tentu memerlukan dana yang lebih besar. Sumbangan permulaan kerajaan Selangor tentu belum boleh membuat rancangan yang lebih besar. Tetapi dipercayai orang yang bersimpati dengan mangsa ISA adalah ramai. Maka dengan adanya Yayasan itu masing-masing dapat menyumbang. Kerajaan PR yang lain seperti Pulau Pinang dan Kelantan boleh mnyambut tindakan itu sama ada menubuhkan yayasan yang sama di negeri masing-masing atau memadai menambah tabung yang ada di Selangor itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan