Universiti Malaya


KUALA LUMPUR - Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) akan membangunkan sebuah laman web dan perisian khas komputer yang memuatkan hadis-hadis sahih untuk rujukan orang ramai.
  
Pensyarah Kanan Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam UM Prof Madya Dr Ishak Suliaman berkata akademi itu sedang berusaha mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membangunkan laman web dan perisian komputer berkenaan.
  
"Kami juga sedang bekerjasama dengan fakulti Sains Komputer dan Fakulti Bahasa di UM bagi membangunkan perisian dan laman web itu," katanya kepada pemberita di Majlis Muzakarah Pakar Sehari Al-Quran dan Sains: Pemetaan Penyelidikan Semasa di Nusantara anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini hari ini.
   
Beliau berkata usaha mewujudkan laman web dan perisian komputer yang mengandungi hadis-hadis sahih itu bertujuan untuk memelihara hadis sahih ekoran kebanyakan pihak yang mengeluarkan pelbagai hadis tanpa rujukan yang sahih dalam Internet.
  
"Laman web serta perisian ini akan dibuat mengikut kesesuaian bahasa supaya mudah difahami, umat Islam boleh mengenal pasti kesahihan sesuatu hadis terutama yang dalam laman sosial sama ada ia sahih atau pun tidak (menerusinya)," katanya.

Dr Ishak turut mencadangkan kepada kerajaan agar diwujudkan undang-undang atau akta khas untuk membenarkan pihak berautoriti mengeluarkan hujah mengenai sesuatu hadis.
  
"Ini bagi mengekang golongan antihadis daripada menghina dan mencela hadis sahih.
  
"Kita amat terdesak kerana penulisan-penulisan hadis dalam apa jua bentuk kenyataan dan imej yang memberi kesan negatif seperti menghina serta merendahkan martabat Nabi (Nabi Muhammad SAW) dan sahabat Nabi yang begitu meluas di media sosial sekarang ini," katanya.
  
Sementara itu Ketua Pangarah Ikim Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata muzakarah yang dianjurkan itu bertujuan mengembleng kerjasama antara universiti tempatan dan nusantara dalam penyuburan kajian-kajian sains yang berpandukan Islam.
  
"Tujuan kerjasama tersebut bukan sekadar mengumpul dan mengkelaskan kajian yang sedia ada tetapi, yang lebih penting kajian dan penyelidikan di universiti dibimbing oleh panduan Al-Quran,"katanya.
  
Beliau berkata tumpuan khusus pada kali ini adalah terhadap kajian yang bukan sahaja berteraskan Al-Quran tetapi juga berhubung rapat dengan sains. - Bernama