Selasa, 1 April 2014

Tubuh RCI siasat semula tragedi Memali

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi membongkar tragedi Memali pada 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk anggota polis.

Lim berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri dan timbalannya, Tun Musa Hitam ketika peristiwa itu berlaku boleh memberikan keterangan untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi hitam yang berlaku ketika itu.

“Dr Mahathir dan Musa masih hidup dan boleh memberi keterangan mengenai tragedi yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan bahawa Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur semasa kejadian, selepas hampir 30 tahun peristiwa itu berlalu.

Ia sekaligus membongkar fakta yang disembunyikan sebelum ini, kononnya Dr Mahathir berada di China semasa kejadian dan Musa pemimpin yang bertanggungjawab atas pembunuhan Memali.

Perkara itu didedahkan Musa dalam majlis “Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang” anjuran kerajaan negeri Kelantan di Kota Baru, baru-baru ini.

Turut serta sebagai panel ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa manakala Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur ketika kejadian itu dan berkata: “Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala Lumpur.”

Mengulas lanjut, Lim berkata, ini bukan kali pertama Musa dijadikan kambing hitam, malah bekas timbalan perdana menteri itu turut dipersalahkan dalam Operasi Lalang yang menyaksikan tangkapan beramai-ramai ahli politik dan aktivis.

“Dr Mahathir bercakap ‘sampah’ dan sekali lagi bersalah dalam amnesia terpilih, dia bukan sahaja tidak berada di China, tetapi semasa Operasi Lalang beliau juga menteri dalam negeri ketika itu,” kata Lim merujuk kepada insiden pada 1987 itu.

Dr Mahathir ketika mengulas pendedahan itu bagaimanapun tidak menafikannya tetapi berkata akan menyemak semula bagi memastikan kesahihan tuduhan Musa.

Tiada ulasan: