Khamis, 3 April 2014

Tiada maaf jika Parlimen lalai dalam hal tragedi MH370


kit



KUALA LUMPUR: Parlimen akan dilihat lalai dalam melaksanakan tugas seandainya sidang kali ini ditangguhkan pada 10 April depan tanpa memutuskan sebarang langkah berkaitan peranan Ahli-ahli Parlimen dalam merungkai tragedi MH370.

Dalam mengulangi desakan agar Kabinet segera menyokong pembentukan Jawatankuasa Parlimen berkenaan MH370, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menegaskan bahawa kelalaian sedemikian tidak akan dapat dimaafkan kerana keputusan berkenaan peranan Ahli Parlimen bukan saja akan membantu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul berkenaan tragedi pesawat hilang itu, malah ia akan memulihkan keyakinan dunia terhadap Malaysia.

“Masa kian suntuk untuk menemui kotak hitam pesawat terbabit sebelum baterinya luput.

“Masa juga kian suntuk Parlimen Malaysia memainkan peranan yang begitu penting dalam merungkai tragedi MH370 sebelum sidang ditangguh Khamis depan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Kit Siang sebelum ini telah berulangkali menyeru supaya satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen diwujudkan bagi menyokong usaha-usaha mencari pesawat MH370 serta bersiap-sedia untuk melakukan siasatan penuh mengenai tragedi tersebut pasca operasi menyelamat.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu malah telah menulis terus kepada Perdana Menteri supaya kabinet menyatakan sokongan terhadap usul pembentukan jawatankuasa tersebut yang telah dikemukakan Ahli Parlimen DAP Seremban Anthony Loke.

Pakatan Rakyat telah menyatakan kesediaan untuk memberikan komitmen sekiranya pihak kerajaan sendiri mahu mengemukakan usul berasingan bagi mencadangkan pembentukan jawatankuasa terbabit.

Tragedi kehilangan pesawat MH370 masuk hari ke 27. Pesawat MAS Boeing 777-200 yang sepatutnya berlepas menghala ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal diumumkan mengakhiri penerbangannya di Selatan Lautan Hindi. Pencarian pesawat tersebut masih diteruskan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: