Jumaat, 11 April 2014

Tetap teruskan seksyen 114, kata Khalid


Kerajaan negeri bersedia melihat semula rayuan Puncak Niaga dan Syabas.


khalid ibrahimSHAH ALAM:  Kerajaan Negeri Selangor akan terus berkerjasama dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam usaha pengambilalihan industri air menerusi  Seksyen 114, Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA 2006).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan rayuan Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkenaan jumlah tawaran pengambilalihan syarikat konsesi tersebut.

Namun beliau menegaskan, jumlah tawaran perlu kurang daripada RM 9.65 billion.

“Kerajaan negeri bersedia melihat semula rayuan kedua-dua syarikat itu untuk bersama dalam penstrukturan air sebelum Seksyen 114 dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini penting kerana kenaikan kos pengambilalihan akan mempunyai impak negatif kepada tarif air dan akhirnya membebankan rakyat kepada lebih lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri akan terus berbincang mengenai modus operandi yang perlu dilakukan bagi melaksanakan pengambilalihan bersesuaian dengan Seksyen 114 tersebut.

Baru-baru ini kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk menandantangani Perjanjian Awal (Heads of Agreement) dengan kerajaan negeri Selangor yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor dalam masa yang terdekat.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bakal mewakili kerajaan persekutuan manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan mewakili kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan: