PERISTIWA ‘tikar terbang’ baru-baru ini bukanlah pendorong bicara saya kali ini. Bomoh yang berbuat begitu biasa saja, kerana mereka memerlukan publisiti. Publisiti penting bagi setiap lapangan, sama ada atas alasan rezeki, mahupun kerana masalah kesepian.

Bomoh datang mendekati kita dengan pelbagai kaedah. Ada yang memakai pakaian purba lalu menolak konsep mitos dan legenda.  Saya telah diperkenalkan dengan bomoh jenis itu, yang akhirnya jelas bermotif perniagaan.

Dia bercakap tentang realiti dalam Sejarah Melayu, hingga kisah Badang makan muntah hantu pun dikatakan betul, bukan mitos, apatah lagi dongeng. Badang menjadi kuat selepas makan muntah hantu, hingga kesemua pokok di dalam hutan ditumbangkannya dalam masa singkat.

Prof Datuk Isahak Haron berkali-kali mengatakan bahawa novel  saya Suluh Peraba ialah karya yang membawa kisah hantu. Novel itu diterbitkan pada tahun 1998. Saya tidak yakin adakah beliau membaca novel tersebut. Oleh sebab beliau ialah profesor terkemuka, kata-katanya diterima umum, lalu saya dikenali oleh beberapa orang sebagai pengarang cerita hantu.

Novel itu kemudiannya diadaptasi oleh Zakaria Ariffin, jadi skrip drama, dan dipentaskan di beberapa tempat. Itu ialah peristiwa lampau.

Tujuan saya menghasilkan karya itu ialah untuk menamatkan kepercayaan syirik dan khurafat. Saya berkira-kira, jika idea saya difahami dan diikuti, maka kepercayaan kepada tahayul akan berakhir apabila kita melangkah ke abad 21.

Pemikir Malaysia, Ainon Mohd dan Datuk Jaafar Rahim memberikan pandangan balas terhadap idea saya. Seingat saya, Ainon mengatakan sesuatu akan dilihat berlainan oleh orang yang keliru, atau yang tidak mampu berfikir.

Beliau mengemukakan konsep placebo, iaitu sesuatu yang berlaku dan dipercayai hasil sesuatu tindakan, padahal itu hanyalah kepercayaan.

Sesiapa yang pernah ke Universiti Iowa pasti mendengar kisah satu percubaan (experiment) di sana. Sejumlah orang yang menghidap flu telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan A diberikan ubat mahal, manakala kumpulan B diberikan ubat murah. Hasil percubaan itu, kumpulan A sembuh, manakala kumpulan B masih sakit. 

Oleh sebab kumpulan A yakin pada ubat mahal, maka mereka sembuh. Kumpulan B pula tidak yakin pada ubat murah, jadi terus sakit.  Sebenarnya, ubat yang diberikan adalah sama, cuma pihak yang membuat percubaan telah meletakkan harga yang berbeza-beza pada bungkusnya.

Ajaran Ainon Mohd saya terima baik. Saya sendiri ialah ‘mantan bomoh’, malah jika kawan-kawan kita semua tidak segan silu, akan kita temukan sejumlah bomoh kecil-kecilan di sekitar kita.  Sejumlah penyakit dapat disembuhkan dengan meminum air bersih, dan dimulai dengan Bismillah kerana kita orang Islam. Bomoh akan memberikan air, dan  mereka melaksanakan jampi, demi menghasilkan kesan placebo.

Jaafar Rahim menyebutkan bahawa tahayul tidak akan habis. Katanya, jika tenggelam satu tahayul, akan timbul tahayul yang lain. Pada akhir tahun 1990an, dan awal abad ini, saya tidak bersetuju dengan Jaafar. Kini, saya dapati kata-katanya betul.  Muncul pelbagai jenis bomoh, dan kepercayaan orang ramai kepada mereka tidak terkikis habis.

Saya tidak bertujuan menolak sepenuhnya jasa bomoh, atau dukun atau pawang. Tidak baik kita bersikap begitu, kerana datuk nenek kita telah bersusah payah memanggil mereka menolong kita, ketika kita sakit puluhan tahun dahulu.

Zaman sekarang, agak besar jumlah ahli psikologi. Mereka yang mahir dalam bidang psikoanalisis akan dapat memahami aneka gejala moden, misalnya masalah orang stres di tempat kerja, masalah lelaki kehilangan teman wanita dan sebagainya. Jika kesan daripada tekanan emosi itu menyebabkan seseorang berubah perangai, misalnya suka menengking, kehilangan logik, tidak tetap pendirian, dan seumpamanya, ada saja orang akan menyarankan perubatan tradisional. Sebenarnya istilah ‘perubatan tradisional’ itu ialah sebutan moden, manakala  istilah lamanya ialah ‘perubatan cara kampung’.

Saya mempunyai pandangan yang jelas, bahawa perubatan cara kampung itu boleh menghasilkan kesan positif jika bomoh berkenaan menerapkan ilmu psikologi. Ketika mengubat orang, paparkan diri sebagai manusia yang mahal, seumpama ubat mahal di Iowa itu, maka pesakit akan sembuh. Demikianlah bomoh dalam fahaman saya.