Sabtu, 19 April 2014

Remaja mati lemas ketika mandi di pantai Dungun

MALAYSIAKINI


Kegembiraan lapan sekawan menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermandi-manda di Pantai Kampung Kuala Abang di Dungun petang tadi berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.
  
Kejadian pukul 5 petang semalam itu meragut nyawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, Mohd Yusrizal Yuslizan, 17.
  
Rakan mangsa Mohd Badrul Amin Zulkifli, 16, berkata rakannya itu berenang jauh ke tengah laut.
  
"Selepas 15 minit, dia menjerit beberapa kali sambil tangannya terkapai-kapai sebelum dia tenggelam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
  
Dua lagi rakan mangsa turut lemas namun berjaya diselamatkan orang ramai di situ.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Norazizi Che Noh berkata lapan anggota bersama penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dan menemui mangsa kira-kira pukul 6.45 petang semalam, kira-kira 50 meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas.
  
Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Tok Kah telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Sementara itu, mayat Khairul Azriel Abd Razak, murid tahun lima yang dilapor hilang selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran Sekolah Kebangsaan Ampang pada Rabu lepas, ditemui semalam di Loji Takungan Air Smart di Kampung Berembang Indah, dua kilometer dari tempat kejadian asal.
  
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairuldin Saad berkata mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira jam 4.45 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat.
  
"Mayat mangsa sukar ditemui sebelum ini kerana berada di bawah timbunan sampah di loji berkenaan," katanya kepada Bernama.
  
Menurut Khairuldin, mayat kanak-kanak itu dicam oleh abang mangsa Mohd Asyraf, 27,  berdasarkan gelang getah pada tangan kanan mangsa dan juga dompet duit yang ditemui bersama-sama mangsa.
  
Dalam kejadian 4.24 petang Rabu lepas, Khairul Azriel yang merupakan murid sekolah berkenaan dipercayai tergelincir ke dalam longkang sedalam 1.5 meter itu ketika mahu mengambil bola takraw yang disepak melepasi pagar sekolah oleh seorang rakannya. - Bernama

Tiada ulasan: