Abdul Aziz Mohd Yusof  
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof


PUTRAJAYA - Seramai 82,431 pemilih berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen P.051 Bukit Gelugor dengan 21 pusat pengundian akan dibuka.

Menurut Pengerusi Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Daftar Pemilih Induk (DPI) digunakan bagi PRK ini ialah DPI yang digabungkan.

"Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah DPI 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama hingga Suku Keempat bagi tahun 2013 yang telah dikemaskini hingga 17 April 2014.

"Daftar pemilih itu mengandungi 82,431 pemilih berdaftar yang terdiri dari 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya, hari ini.

Sebelum itu, beliau mengumumkan tarikh pengundian awal pada 21 Mei dan pengundian biasa pada 25 Mei depan selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Sementara 12 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon.

Kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil kelima selepas Pilihan Raya Umum ke-12 itu dianggarkan sebanyak RM 1,979,480.

Empat PRK sebelum ini menelan kos RM 1.3 juta (Sungai Limau dan Kuala Besut), RM910,213 (Balingian) dan RM 1.6 juta (Kajang).

Untuk rekod, kerusi Bukit Gelugor boleh dikatakan kerusi tradisi DAP.

Pada tahun 2004, DAP menang dengan majoriti 1,261 undi, pada tahun 2008, ia menang dengan majoriti 21,015 sementara pada 2013, Karpal Singh memang undi majoriti 42,706.

Berdasarkan senarai daftar pemilih 2013, terdapat 82,042 pengundi dengan 61,112 Cina, 11,880 Melayu, 8,660 India dan 390 kaum lain di Bukit Gelugor.

Kerusi Parlimen ini mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Seri Delima, Paya Terubong dan Air Itam, yang kesemuanya dimenangi calon DAP.