Ahad, 13 April 2014

Pinda undang-undang, bolehkan bukan Islam hadir ke Mahkamah Syariah, kata peguam Islam

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Kerani dari Seremban, S Deepa memegang gambar anaknya (tidak ditunjukkan). Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa agar kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan individu bukan Islam dibenarkan menghadiri sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah bagi menuntut keadilan. – Gambar The Malaysian Insider, 12 April, 2014. Kerani dari Seremban, S Deepa memegang gambar anaknya (tidak ditunjukkan). Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa agar kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan individu bukan Islam dibenarkan menghadiri sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah bagi menuntut keadilan. – Gambar The Malaysian Insider.



Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa agar kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan individu bukan Islam dibenarkan menghadiri sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah bagi menuntut keadilan.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ketika mengulas berhubung isu hak penjagaan anak beragama Islam oleh ibu beragama Hindu berkata, terdapat pertindihan perintah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam isu yang berlaku di Seremban itu.

"PPMM menyeru agar undang-undang dipinda bagi membolehkan orang bukan Islam dibenarkan hadir ke mahkamah syariah bagi menuntut keadilan kerana keadilan Islam adalah bersifat sejagat," katanya.

"Negara Brunei Darussalam contohnya hanya mensyaratkan sekurang-kurangnya satu pihak beragama Islam sahaja bagi menghadiri prosiding di mahkamah syariahnya," tambah Zainul Rijal dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Kerani dari Seremban, S Deepa sebelum ini menerima hak penjagaan dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi, sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah Seremban yang sebelum itu memberikan hak penjagaan kepada bapa mereka yang memeluk Islam.

N Viran, yang menukar nama kepada Izwan Abdullah bagaimanapun melarikan anak mereka, Mithan, 6, sehari selepas keputusan berkenaan dibuat Mahkamah Tinggi.

"Berilah peluang kepada kedua belah pihak menyelesaikan pertikaian mereka di mahkamah dan pihak yang tidak berkenaan tidak perlu beremosi di dalam menghadi kemelut sebegini," kata Zainul Rijal.

Beliau berkata lagi, oleh kerana hal ini berkaitan kekeluargaan, adalah tidak molek pihak berkuasa menggunakan tindakan undang-undang termasuk mendakwa Izwan atas apa jua tuduhan.

"Terdapat pelbagai penghakiman mahkamah tertinggi negara yang memutuskan isu-isu sebegini yang boleh dijadikan rujukan," katanya.

Beliau berkata, isu agama anak tidak diputuskan di dalam penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Seremban, tetapi suatu fatwa telahpun dikeluarkan oleh Mufti kerajaan Negeri Sembilan berhubung keislaman anak-anak tersebut.

"Izwan tidak boleh dikenakan dakwaan menghina mahkamah kerana beliau mempunyai perintah hak jagaan yang sah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Seremban.

"Perintah tersebut berkuatkuasa sehinggalah ianya dibatalkan," katanya .

Viran, bekerja sebagai pemandu lori meninggalkan Deepa dan anak-anaknya tiga tahun lalu dan memeluk Islam menggunakan nama Izwan.

Deepa kemudian mendapati anak-anaknya, Sharmila (Nurul Nabila) 9, dan Mithran (Nabil), 6, diislamkan tanpa pengetahuannya pada April.

Selepas Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan kepadanya pada Isnin, Izwan bagaimanapun pada Rabu pergi ke rumah Deepa di Jelebu dan merampas anak lelaki mereka.

Deepa berkata kepada polis beliau gagal menghalangnya kerana pakaiannya tersangkut pada pintu kereta dan diseret.

Malah, beliau turut mendakwa bekas suaminya turut menendangnya.

Polis bagaimanapun, berkata mereka tidak akan bertindak terhadap laporan terbaru Deepa kerana dua mahkamah memberikan hak penjagaan kanak-kanak terhadap ibu dan bapa mereka.

Zainul Rijal berkata, sebagai seorang mualaf yang terdahulunya berkahwin secara sivil melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 Izwan tidak diberikan hak melalui Seksyen 51 Akta tersebut untuk membubarkan perkahwinan sivilnya.

Oleh yang demikian, beliau melaksanakannya di bawah Enakmen Undang Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Suruhanjaya Ong yang menggubal Akta Membaharui Undang-Undang, khususnya Seksyen 51 tersebut berprasangka buruk terhadap mualaf yang memeluk Islam sehingga 'menghukum' mualaf tersebut tidak mempunyai hak memfailkan perceraian berbanding pasangan yang tidak memeluk Islam.

"Sebagai seorang yang menganut agama Islam, Izwan tertakluk kepada perintah Mahkamah Syariah dan mempunyai obligasi menjaga maqasid al shariah termasuklah hifz al deen (menjaga agama)," katanya

Tiada ulasan: