Ahad, 13 April 2014

Orang Melayu dan GST


Oleh Sakmongkol AK47


Saya sukar hendak faham lojik ahli parlimen BN terutamanya daripada Umno. GST - cukai ke atas semua pengguna dianggap sebagai suatu yang baik.

Lagi sukar saya faham mengapa orang Melayu yang rata-ratanya golongan yang relatif miskin dalam negara ini, menerima GST sebagai suatu yang bagus.Mereka terpaksa bayar, tetapi mereka suka? Perkiraan apa yang ada dalam kepala rakyat?

GST hanya bagus kepada kerajaan, kerana mereka dapat mengutip lebih banyak hasil.

Menurut mereka, bila hasil banyak maka banyaklah perbelanjaan akan dilakukan untuk kepentingan rakyat. Benarkah begitu?

Ini pendustaan yang paling besar. Cuba kita lihat apa yang dibelanjakan oleh kerajaan BN. Mereka berbelanja atas projek yang menjadikan kroninya kaya. Lebih banyak ada wang dalam tangan, maka lebih besar belanja daripada pendapatan.

Belanja berhemah dan cermat tidak ada dalam kamus BN dan Umno. Lagi banyak duit dalam tangan, lebih besar samun, rompakan dan ketirisan yang dilakukan.

Orang Melayu yang bertegas untuk bayar GST ini - apa yang kena dengan kepala mereka? Kaya sangatkah orang Melayu?

Kemiskinan di kalangan orang Melayu mengikut perangkaan EPU ialah 2.2, iaitu ukuran peratusan orang Melayu yang berada di bawah garis kemiskinan.

Garis kemiskinan ini berapa? RM650 sebulan. Ertinya, terdapat 2.2% orang Melayu berada di bawah garis kemiskinan.

Jika jumlah orang Melayu ialah 15,000,000, maka yang miskin papa kedana dan hidup melarat ialah 330,000 orang Melayu.

Golongan ini yang menerima BR1M 300. Mereka penerima jika ketua kampung berkata 'ok'. Golongan inilah yang mendapat bantuan kebajikan masyarakat RM400 sebulan.

Dicampur dengan RM300, pendapatan bulanan mereka adalah RM700, masih tersangat rendah daripada RM3,000 penanda aras layak mendapat BR1M.

Jika BR1M dapat RM600 untuk satu tahun, di sana ada tambahan RM50 kepada pendapatan bulanan. Masih jauh di bawah RM1,000 sebulan.

Pendapatan bulanan 20% Melayu teratas ialah RM10,666. Pendapatan 40% Melayu yang tengah ialah RM4123.

Manakala pendapatan Melayu yang 40% paling bawah ialah RM1,686. Makanya, kalau kita campur pendapatan purata bulanan untuk semua kategori orang Melayu, pendapatan bulanan orang Melayu kesemuanya ialah RM16,475.

Ini bererti Melayu yang 20% teratas menguasai 65% pendapatan bulanan orang Melayu. Yang di bawah iaitu 40% paling bawah hanya menguasai 10% daripada pendapatan purata bulanan.
Mengapa yang terbawah ini mahu menyokong GST?

Walaupun ada barangan yang zero-rated atau tidak dikenakan GST, rakyat masih membayar harga yang tinggi kerana tidak ada yang menyekat pihak peruncit daripada mengenakan harga yang tinggi.

Malah, GST bersih mereka terpaksa bayar, entah-entah dimasukkan ke dalam harga jualan kepada pengguna.

Dan oleh sebab pengguna akhir tidak berdaftar dengan GST, mereka tidak boleh membuat tuntutan daripada kerajaan.

Maka amatlah hairan kita mengapa orang Melayu yang hidup susah mahu bertegas membayar GST.

Malah ada yang dirasuk oleh Umno untuk tunjuk perasaan dan berdemonstrasi mahu membayar GST.
Kaya sangatkah orang Melayu?

Ini bererti sudahlah orang Melayu hidup susah, tetapi mereka membenarkan Umno menipu mereka.
Sebelum in, Melayu yang miskin, yang mohon bantuan sana sini, berdemonstrasi dan tunjuk perasaan mahu bayar PTPTN.

Mereka ditawarkan pendidikan percuma sehingga universiti, ibu bapa pelajar yang bergantung kepada bantuan dan berpendapatan rendah, memprotes mahu membayar PTPTN!

Apa sudah jadi kepada mereka?

Jawapannya ialah mereka melihat tentangan kepada PTPTN dan tentangan kepada GST ialah penentangan kepada sebuah kerajaan Melayu. Ternyata tanggapan sebegini salah.

Tetapi Umno memperlakukan isu ini sebagai suatu yang dirancang oleh sebuah kerajaan melayu tetapi ditentang oleh kaum lain, terutama oleh bangsa Cina.

Ini membuktikan Umno itu rasis dalam semua perhitungannya.

Tersembunyi di sebalik kerelaan menerima kesakitan dan penindasan yang dilakukan oleh Umno, ialah kerelaaan diperlakukan demikian asal yang melakukan kezaliman dan penindasan itu oleh Melayu.

Maka orang Melayu rela, sebab penceroboh itu Melayu dan Umno lagi.

Hidup Melayu! – sakmongkol.blogspot.com

Tiada ulasan: