Bekas Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin rupanya bukanlah seorang yang mahu mengakui kesilapan serta mudah mengungkapkan kata-kata maaf atas keterlanjuran perbuataannya. Setelah tindakannya menulis di twitter sesuatu yang tidak wajar mengenai kematian Karpal Singh dan ditegur oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau nampaknya bukan saja tidak mahu mengalah, malah seolah-olah beliau tidak pernah melakukan kesilapan sebelum ini.
Di ketika semua pihak, termasuk Najib sendiri menunjukkan sikap terpuji dan merasakan kehilangan atas pemergian Karpal Singh dalam kemalangan jalanraya, Zulkifli terus angkuh dengan menempelak pula KJ yang bertindak betul menegur dan menyuruhnya diam akibat kenyataannya yang keterlaluan itu.
Sebaik kematian Karpal Singh, Zulkifli menulis di twitter yang memberi gambaran seolah-olah Allah sengaja mematikan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu untuk memberi laluan kepada Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Ini berikutan Karpal sebelum ini menentang perlaksaan hukum itu dengan keras sambil memberi amaran "langkah mayat saya dulu" jika mahu hukum Islam itu dilaksanakan.
Komen Zulkifli yang dianggap keterlaluan, tidak sesuai dengan suasana keluarga Karpal yang sedang dalam kesedihan dan cuba mempolitikkan kematian tokoh DAP itu, bukan saja dikecam oleh banyak pihak, termasuk menteri dan komponen BN sendiri, tetapi KJ adalah yang paling awal dan lantang mengkritik bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu.
KJ tidak saja mendesaknya agar diam tetapi juga mengeluarkan kenyataan bahawa beliau malu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Zulkifli itu, lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi calon BN di Shah Alam dalam pilihanraya lalu dan seterusnya menyatakan tidak seharusnya dipilih sebagai calon lagi dalam mana-mana pilihanraya selepas ini.
Reaksi KJ yang keras tetapi bertepatan dengan sesiapa saja yang berfikiran waras itu telah mengundang rasa kurang senang Zulkifli dengan membalas di twitternya bahawa beliau sebenarnya malas melayan menantu Pak Lah itu tetapi semata-mata kerana kasihan kepada Perdana Menteri, Najib Razak saja.
Sambil itu, beliau juga menyindir KJ dengan mengingatkannya agar tidak menjadi Anwar Ibrahim kedua dalam keghairahannya bermain politik.
Barangkali kerana merasakan beliau sudah mampu berdiri sendiri dan tidak perlu dikaitkan lagi dengan Pak Lah, KJ lantas mengingatkan Zulkifli agar menjadi anak jantan dan terus merujuk kepada namanya saja.
Walaupun ada yang menyebut apa perlunya dua orang pemimpin Melayu bertelagah hanya kerana Karpal Singh, tetapi dalam isu ini ternampak kebenaran lebih berpihak kepada KJ. Tegurannya kepada Zulkifli adalah wajar dan tidak semua perkara harus dikaitkan dengan perkiraan untung rugi politik.
Sesiapa pun boleh berbeza pendapat dengan Karpal semasa hidupnya tetapi setelah kematiannya, apa yang harus dikenang ialah jasa dan sumbangannya. Lihatlah bagaimana Mahathir, Pak Lah, Najib, Samy Vellu dan lain-lain pemimpin memberi reaksi dan menunjukkan jiwa besar atas pemergian Karpal walaupun semasa hayatnya sering bertelagah dan berbeza pendapat.
Walaupun penentangan Karpal terhadap hudup tiada kaitan secara langsung dengan Zulkifli dan komennya lebih sebagai "batu ronson" semata-mata, hakikatnya Zulkifli tidak dapat membezakan antara menghormati orang hidup dengan orang yang sudah meninggal dunia.
Sudahlah beliau tidak mahu mengakui kesilapan dan meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya itu, beliau juga nampaknya cuba menyerang orang yang cuba menegurnya sambil cuba berselindung di belakang Najib seolah-olah memohon simpati dan perlindungan.
Kasihan Najib konon! Kalau kasihan Najib beliau tidak akan memberi reaksi tidak sewajarnya mengenai kematian Karpal. Ini kerana Najib sendiri menzahirkan simpati dan merasa kehilangannya. Reaksi beliau itu lebih untuk "membunuh" Najib.
Sebenarnya Zulkifli perlu mengasihani dirinya sendiri. Ini kerana jelas bahawa pemikiran dan tingkah lakunya tidak selari dengan majoriti rakyat negara ini lagi. Pemikiran kunonya mengenai politik, perkauman, perpaduan dan menghargai manusia lain sudah menjadi dinosaur yang tidak sesuai lagi dengan manusia yang berakal dan bertamaddun.
Jika Najib dan BN ingin mencapai keputusan lebih baik dalam pilihanraya umum akan datang, species seperti beliau perlulah dijauhi. Membiarkan diri berdampingan dengannya akan mengecilkan lagi sokongan dan undi rakyat keseluruhannya.
Najib perlu mengkaji, undi siapakah yang perlu diraihnya dalam pilihanraya akan datang dan apakah manusia yang berfikiran seperti Zulkifli boleh menambahkan undi BN secara keseluruhannya atau persaraannya secara total jauh lebih baik lagi?
Jika Najib dapat menjauhkan dirinya dengan semua yang sejenis dengan Zulkifli yang kini begitu ghairah menonjolkan diri melalui media dengan pelbagai reaksi berbentuk provokasi, perkauman, memecah-belah perpaduan dan seumpama dengannya, lebih menguntungkan lagi.
Fikirkan dengan mendalam sebelum terlambat.http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan