Kami mendapatI tujuan utama lawatan Obama ialah mengenai agenda menandatangani rundingan TPPA. Lantaran itu, jika Najib berani dan tegas mempertahankan maruah negara, dia perlu mengambil kesempatan ini untuk menegaskan pendirian Malaysia bahawa rakyat tidak menerima perjanjian ini.
Kami yakin tujuan AS menekankan kepentingan TPPA ditandatangani bukan isu perdagangan, sebaliknya adalah hegemoni AS adalah mengekang pengaruh China di rantau ini.
Oleh itu, Malaysia tidak perlu diperangkap dalam perjanjian ini hanya kerana AS mahu memenuhi agendanya mengimbangi kuasa China.
Penolakan Malaysia terhadap TPPA ini adalah wajar kerana sejak Malaysia menyertai rundingan tersebut dalam keadaan penuh kerahsiaan, rakyat tidak yakin kepentingan negara akan dapat dilindungi walaupun pihak MITI (Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa) berulang kali menyatakan kepentingan negara tidak akan digadai.
Jika tujuan utama kedatangan Obama ke Malaysia adalah berkait dengan TPPA kami menjangka Obama akan mengguna pengaruh AS sepenuhnya ke atas Najib agar Malaysia tunduk kepada kehendak AS dalam perjanjian tersebut.
Kami mengulangi pendirian menolak dan membantah TPPA kerana kesan jangka panjangnya yang tidak dapat dijangka akibat peraturannya yang mengikat dan boleh mengheret negara ke Mahkamah antarabangsa jika berlaku konflik perdagangan.
Kami juga menolak lawatan Obama kerana AS merupakan negara adikuasa yang menggunakan pengaruhnya dan melakukan semahunya ke atas pelbagai negara di dunia seperti di Syria, Iraq, Afghanistan dan Pakistan sehingga jutaan rakyat awam menderita. Dasar luar AS telah memberi akibat yang buruk kepada sosio-ekonomi, pertahanan dan politik banyak negara di dunia ketiga.
Hegemoni AS yang menyebabkan Israel terus bermaharajalela, jelas menunjukkan betapa AS berperanan besar menafikan hak rakyat Palestin untuk mendapat keadilan sejak lebih 65 tahun yang lalu. Keganasan Israel terus berleluasa bukan sahaja di Tebing Barat malah juga membenarkan Israel melakukan kepungan haram keatas Tebing Gaza yang menyebabkan rakyat Palestin di Gaza menderitai akibat sekatan makanan, ubatan, bahan binaan, bekalan gas dan minyak sejak 2006 sehingga hari ini.
AS jelas menggunakan pengaruhnya secara "double standard" dalam dasar luarnya yang tidak mempedulikan hak asasi manusia sedangkan AS mencanang demokrasi kepada dunia. Operasi militari AS yang mengguna kapal terbang perang tanpa pemandu (drone) di Afghanistan telah membunuh ribuan rakyat awam yang tidak berdosa. Demikian operasinya menjatuhkan Sadam Hussein telah mengakibatkan lebih sejuta rakyat Iraq terbunuh dan kini Iraq hancur sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Dasar hipokrit AS sangat jelas dalam krisis yang berlaku di Syria dan Mesir. Slogan AS supaya menghormati hak demokrasi rakyat Mesir menunjukkan percanggahan yang nyata. Kini AS menyokong penuh apa yang dilakukan oleh Fatah al-Sisi yang melakukan kudeta tentera menjatuhkan Dr Mohammad Morsi sebagai Presiden yang sah dipileh oleh rakyat Mesir. Manakala AS menyokong keganasan yang berlaku di Syria yang kini sudah mengorbankan lebih dari 200,000 orang rakyat awam.
Kedatangan Obama ke Malaysia yang akan disambut sebagai lawatan terpenting pemimpin luar oleh Perdana Menteri Malaysia adalah simbol penyerahan kehormatan negara kepada kuasa imperialis dunia. Menerima lawatan pemimpin sebuah negara paling ganas didunia menunjukkan betapa negara sangat mudah diperalatkan oleh kuasa besar.
Obama jelas adalah seorang Presiden Amerika yang bermuka-muka dan pembohong besar. Harapan yang diisytiharkannya kepada dunia bahawa dia akan merubah dasar luarnya yang lebih positif kepada negara-negara Islam jelas adalah suatu penipuan dan manipulasi. Dengan terus memperalatkan beberapa negara Arab di Timur Tengah, sikapnya menyokong penuh dasar Israel, operasi ketenteraan yang semakin meningkat di Afghanistan dan Iraq, ternyata Obama adalah hipokrit paling besar dalam dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan