Ahad, 6 April 2014

Jika Johor ubah, seluruh Malaysia berubah - Kit Siang



NAZRI ABDULLAH 


MUAR: Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) berkata, beberapa tahun dahulu adalah sesuatu yang mustahil jika parti selain BN berharap untuk menang kerusi pilihan raya di Johor.

Katanya, ini kerana ketika itu Johor dianggap sebagai penyumbang kerusi 'fix deposit' kepada BN.

"Kalau enam tahun dahulu ‘unthinkable’ (tidak terfikir), ‘impossible’ (mustahil). Sekarang kalau ditanya kita boleh menangkah tidak, tentu boleh.

"Sekarang rakyat Johor sudah ubah. Kita bukan mahu ubah Putrajaya sahaja, tetapi Nusajaya juga," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 2,000 hadirin sempena ceramah Karnival 60 tahun PAS Johor di Parit Tarom di sini, malam tadi.

Turut berucap malam tadi ialah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Datuk Husam Musa, Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution serta Pesuruhjaya PAS Johor Aminul Huda Hassan.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, Johor sekarang menjadi 'front line state' di Malaysia di mana semua mata tertumpu di sini.

"Semua orang tunggu apa berlaku di sini. Jika berlaku perubahan di Johor bermakna perubahan juga akan berlaku di Malaysia," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai 18 dari 56 kerusi DUN dengan masing-masing 13 DAP, 4 PAS dan 1 PKR.

Untuk mendapat majoriti mudah, Pakatan Rakyat perlu menang sekurang-kurangnya 29 kerusi. 

Tiada ulasan: